Bola sepak Jerman perlukan perubahan


Sekalipun menewaskan Costa Rica 4-2, Jerman tersingkir menerusi perbezaan jaringan selepas Jepun mengalahkan Sepanyol 2-1 dalam satu lagi aksi kumpulan itu malam tadi di Qatar. – Gambar Facebook, 2 Disember, 2022.

JURULATIH Hansi Flick menggesa perubahan dalam pembangunan bola sepak remaja Jerman dilakukan secepat mungkin, selepas “kekecewaan besar” tersingkir pada peringkat kumpulan bagi dua Piala Dunia berturut-turut.

Sekalipun menewaskan Costa Rica 4-2 awal pagi tadi, Jerman tersingkir menerusi perbezaan jaringan selepas Jepun melakar kejutan besar mengalahkan Sepanyol 2-1 dalam satu lagi aksi kumpulan itu malam tadi di Qatar.

Sebelum perlawanan, pemenang Piala Dunia 1990 dan bekas pengurus Jerman, Juergen Klinsmann berkata, satu lagi kegagalan di peringkat kumpulan bermakna “bencana 10 kali ganda” berbanding penyingkiran awal di Russia empat tahun lalu.

Sejurus kebimbangan Klinsmann menjadi kenyataan, Flick berkata Jerman perlukan perubahan ketara dalam sistem pembangunan remajanya untuk kekal bersaing dengan negara lain.

Flick yang mengambil alih daripada Joachim Loew selepas Kejohanan Eropah tahun lalu, berkata Jerman perlu mencontohi negara lain jika mahu meningkat, sambil menamakan Sepanyol sebagai contoh.

Mengakui ada “kekecewaan besar” dalam bilik persalinan, Flick berkata: “Kami memiliki pemain yang beraksi dengan kelab besar dan kami juga ada kualiti tetapi saya percaya demi masa depan bola sepak Jerman, kami perlu mempraktikkan corak latihan yang berbeza.

“Bertahun-tahun lamanya kami bercakap mengenai penjaga gol baharu, pemain sayap baharu, tetapi apa yang sering kali bagus sebelum ini kami boleh bertahan dengan baik, elemen ini yang kami mahu kekalkan.” – AFP, 2 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen