AS label pemimpin Al-Qaeda, Taliban Pakistan pengganas


AS label pemimpin Al-Qaeda di Asia Selatan dan Taliban Pakistan sebagai pengganas serta berjanji untuk membanteras mereka susulan kegiatan kumpulan itu yang semakin mengancam Afghanistan. – Gambar fail EPA, 2 Disember, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) melabelkan pemimpin Al-Qaeda di Asia Selatan dan Taliban Pakistan sebagai pengganas serta berjanji untuk membanteras mereka susulan kegiatan kumpulan itu yang semakin mengancam Afghanistan.

Pengganas disasarkan termasuk empat pemimpin Al-Qaeda di Benua Kecil India (AQIS), cawangan serantau rangkaian jihad itu, termasuk emirnya, Osama Mehmood.

AS juga menyasarkan individu kedua terpenting Taliban Pakistan, Mufti Hazrat Deroji turut dikenali sebagai Qari Amjad, yang dilihat semakin menggalakkan kempen keganasannya selama 15 tahun, sejak Taliban merampas kawalan di negara jiran Afghanistan tahun lalu.

Pegawai AS berkata Deroji menyelia operasi di Khyber Pakhtunkhwa, satu daripada dua kawasan sempadan yang berdepan beban serangan pengganas.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata pengumuman itu sebahagian usaha berterusan AS untuk memastikan pengganas tidak menggunakan Afghanistan sebagai pentas untuk keganasan antarabangsa.

“Kami akan terus menggunakan semua alat yang relevan untuk menegakkan komitmen bagi memastikan pengganas antarabangsa tidak dapat beroperasi tanpa dihukum di Afghanistan,” katanya.

Jabatan Negara dan Jabatan Perbendaharaan AS turut menyenaraikan empat sebagai Pengganas Khusus Global, menjadikan pembabitan dalam transaksi dengan mereka sebagai jenayah dan membolehkan sekatan mana-mana aset mereka dimiliki di AS.

Sebelum ini, Presiden AS Joe Biden menarik balik tentera AS dari Afghanistan selepas dua dekad, mengatakan bahawa tidak ada lagi yang boleh dicapai dan AS boleh memerangi pengganas tanpa tentera di lapangan.

AS pada 31 Julai lalu melepaskan dua peluru berpandu menggunakan dron bagi membunuh pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, yang berpindah ke Kabul. – AFP, 2 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen