Sasaran baharu Jepun kini suku akhir Piala Dunia


Samurai Biru akan bertemu Croatia pada pusingan 16 terbaik, selepas menyingkirkan Sepanyol dengan kemenangan 2-1 dalam saingan Kumpulan E. – Gambar Facebook, 2 Disember, 2022.

JURULATIH Jepun Hajime Moriyasu berkata beliau meletakkan sasaran untuk pencapaian terbaik negara itu di Piala Dunia selepas mereka mengejutkan Sepanyol dengan kemenangan 2-1 dalam saingan Kumpulan E.

Samurai Biru akan bertemu Croatia pada pusingan 16 terbaik, tetapi Moriyasu melihat lebih daripada itu, selepas mereka turut menewaskan serta membantu menyingkirkan juara empat kali, Jerman.

Ini kali keempat Jepun mara ke pusingan 16 terbaik tetapi mereka belum pernah mara melebihi peringkat itu.

“Daripada segi penamat, sasaran baharu kami ialah lapan terakhir. Pemain menunjukkan keupayaan yang mereka mampu bersaing di peringkat dunia.

“Saya ingin menetapkan rekod baharu dalam kelompok lapan terakhir atau lebih baik,” kata Moriyasu.

Penyerang Alvaro Morata meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-12 apabila dia menanduk hantaran lintang Cesar Azpilicueta untuk gol ketiganya dalam tiga perlawanan Piala Dunia kali ini.

Tetapi seperti perlawanan menentang Jerman, Jepun bangkit selepas rehat dengan meledak dua gol menerusi Ritsu Doan dan Ao Tanaka pada minit ke-48 dan 51.

Gol kemenangan itu menimbulkan kontroversi apabila bola hantaran Kaoru Mitoma dikatakan keluar, namun VAR mengesahkan ia masih dalam permainan dan jaringan itu sah.

“Terima kasih kepada semua penyokong kami, rakyat Jepun, atas sokongan mereka sehingga kami mampu mengharungi perlawanan sukar ini.

“Saya gembira dapat membawakan kemenangan ini kepada semua dan menghasilkan keputusan yang menggembirakan,” katanya. – AFP, 2 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen