Ahli Parlimen Sarawak akan pastikan kepentingan negeri dilindungi, kata Abang Johari


Premier Sarawak Abang Johari Openg dalam Persidangan DUN Sarawak berkata ahli Parlimen Sarawak dalam kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim akan memastikan kepentingan negeri itu dilindungi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2022.

PREMIER Sarawak Abang Johari Openg dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching hari ini berkata ahli Parlimen Sarawak dalam kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim akan memastikan kepentingan negeri itu dilindungi.

Ia termasuk semua dasar dan inisiatif kerajaan Persekutuan yang akan mengambil kira kesejahteraan rakyat dan status, hak dan kepentingan Sarawak dalam mengikut hak perlembagaan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Awang Tengah Ali Hassan memberitahu kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited untuk meneruskan perkara-perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan kerajaan terdahulu dengan kerajaan perpaduan yang akan datang.

Antaranya ialah semakan peruntukan kewangan khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, pemulangan tanah yang diberikan kepada kerajaan Persekutuan yang tidak digunakan, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar dan Saliran Sarawak serta Jabatan Pengairan sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 dan mengembalikan autonomi kehakiman kepada Sabah dan Sarawak.

Isu penting lain yang tidak dapat diselesaikan ialah pelantikan wakil negeri ke Lembaga Hasil Dalam Negeri, mengekalkan Borneo-centrism dalam perkhidmatan awam di Sarawak dan untuk Sarawak dan Sabah mempunyai satu pertiga daripada kerusi di Parlimen.

Awang Tengah memberitahu kerajaan negeri mencadangkan penambahan ahli Parlimen dari kedua-dua negeri Borneo sebanyak 35%.

“Perkara ini dipersetujui secara prinsip oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini.”

“Justeru perkara ini perlu dilaksanakan bagi memastikan perwakilan yang seimbang selaras dengan semangat dan matlamat asal pembentukan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata selain meneruskan perkara yang tidak dapat diselesaikan ini, kerajaan Sarawak akan terus menyuarakan semua kepentingan negeri termasuk isu duti setem, kewajipan kerajaan Persekutuan di bawah senarai bersama dan pengembalian kuasa kepada negeri untuk mengendalikan isu alam sekitarnya sendiri.

Awang Tengah berkata kerajaan negeri akan membantu mengingatkan kerajaan Persekutuan yang akan datang mengenai persetujuan kerajaan sebelum ini untuk meningkatkan keselamatan di sempadan Sarawak-Kalimantan termasuk membangunkan secara bersama pos imigresen Tebedu-Entikong dan Ba’ Kelalan-Long Midang. – 1 Disember 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen