Thailand unjur perdagangan dengan Rusia meningkat 


THAILAND mengunjurkan jumlah dagangannya dengan Rusia akan meningkat pada 2022 menerusi kerjasama baharu termasuk eksport alat ganti kereta, menurut Duta Thailand ke Moscow Sasiwat Wongsinsawat dalam temu bual dengan Sputnik.

“Sasaran perdagangan masih mengikut perancangan, namun disebabkan gangguan semasa dalam rantaian bekalan global dan cabaran susulan langkah menangani ekonomi dan kewangan semasa, kami perlu praktikal dan inovatif dalam pendekatan.

“Tahun ini, kami menjangkakan jumlah dagangan akan meningkat, namun jumlahnya belum dapat dipastikan,” kata Wongsinsawat.

Duta itu berkata Rusia dan Thailand perlu meneruskan dagangan dua hala dalam barangan tradisional selain meneroka peluang perniagaan dalam bidang lain yang kurang melibatkan keperluan logistik.

Beliau berkata Bangkok bersedia mengeksport alat ganti kereta ke Rusia dan sedang menunggu senarai barangan yang diperlukan serta jumlahnya dari Moscow.

“Ada syarikat Rusia dan kerajaan tempatan menunjukkan minat untuk membeli alat ganti dari Thailand, dan kami masih menunggu senarai terperinci, sama ada untuk kereta, trak atau model khusus lain,” kata beliau. 

Diplomat itu menyuarakan harapannya agar penyedia perkhidmatan Thailand dan Rusia dapat mencari penyelesaian alternatif bersama-sama bagi memudahkan kemasukan lebih banyak pelancong, perdagangan dan perkhidmatan antara kedua negara. – Bernama, 1 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen