Peruntukan pembangunan negeri tidak cukup, kata timbalan premier Sarawak


Desmond Davidson

Timbalan Premier Sarawak Awang Tengah Ali Hassan berkata peruntukan itu tidak mencukui untuk membolehkan pembangunan Sarawak setanding dengan negeri di Semenanjung.– Gambar The Malaysian Insight, 1 Disember, 2022.

PERUNTUKAN 5% daripada bajet pembangunan kepada negeri oleh kerajaan persekutuan terdahulu bukan sahaja tidak wajar, ia juga tidak membolehkan Sarawak setanding dengan negeri di Semenanjung, kata Timbalan Premier Awang Tengah Ali Hassan.

Mengharapkan kerajaan perpaduan yang baharu akan lebih bersimpati dan adil kepada Sarawak serta mengembalikan haknya yang terhakis sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, Awang Tengah berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mesti menyediakan lebih banyak dana untuk merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Sarawak.

“Adalah menjadi jangkaan dan hak rakyat Sarawak, sebagai rakyat Malaysia, untuk dibekalkan dana yang mencukupi oleh kerajaan persekutuan supaya kita dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik.

“Ini adalah hak Sarawak yang tidak boleh dinafikan. Selepas 59 tahun penubuhan Malaysia, kita sepatutnya tidak melihat lagi sekolah usang di Sarawak.

“Kita seharusnya tidak lagi mempunyai jalan raya yang teruk, bekalan air dan elektrik yang tidak mencukupi, klinik kampung dan hospital yang tidak selesa dan banyak lagi,” katanya pada sidang DUN hari ini.

Awang Tengah berkata beliau juga berharap kerajaan persekutuan baharu tidak menjadi seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang mula membatalkan beberapa projek setelah berkuasa walaupun telah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tumbang.

Selain itu, Awang Tengah berkata banyak janji pilihan raya yang dibuat PH tidak ditunaikan.

Janji-janji itu adalah untuk mengembalikan 50% cukai yang dikutip di Sarawak, dan meningkatkan royalti minyak daripada 5% kepada 20%.

“Jangan jadi seperti kerajaan PH. Saya harap kerajaan baharu ini akan mengambil iktibar kerajaan PH sebelum ini,” katanya. – 1 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen