110,000 ayam dihapuskan di Jepun akibat selesema burung


Sebanyak 110,000 ayam di wilayah Tottori Jepun akan disembelih bagi membendung wabak selesema burung. – Gambar fail EPA, 1 Disember, 2022.

KIRA-KIRA 110,000 ayam di wilayah Tottori Jepun akan disembelih bagi membendung wabak selesema burung, lapor Sputnik memetik laporan penyiar Jepun NHK pada Khamis.

Langkah itu diambil selepas 40 ayam ditemui mati di sebuah ladang tempatan di bandar Tottori, menurut laporan itu.

Analisis genetik mengesahkan kehadiran strain patogenik selesema burung pada bangkai berkenaan.

Pengedaran ayam dan telur dalam radius 3km dari lokasi jangkitan turut dihentikan.

Selain itu, eksport ayam dan telur di luar 10km juga dilarang, lapor media itu.

 Jepun merekodkan kes selesema burung di wilayah Okayama, Kagawa, Miyagi, dan Aomori, serta di pulau Hokkaido pada musim gugur. Secara keseluruhan, kira-kira 2.9 juta ayam dihapuskan di negara ini sejak wabak itu dikesan pada 28 Oktober.

Dalam tempoh musim luruh 2020 hingga musim bunga 2021, Jepun berdepan wabak selesema burung terbesar dalam sejarah negara.

Virus itu menjejaskan lebih satu pertiga wilayahnya, dan kira-kira 10 juta ayam disembelih di lebih 50 ladang. – Bernama, 1 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen