Mexico tersingkir Piala Dunia walau menang 2-1 ke atas Arab Saudi


Mexico tersingkir daripada Piala Dunia FIFA 2022 meskipunpun menang 2-1 ke atas Arab Saudi dalam Kumpulan C semalam. – Gambar Facebook, 1 Disember, 2022.

MEXICO tersingkir daripada Piala Dunia FIFA 2022 meskipunpun menang 2-1 ke atas Arab Saudi dalam Kumpulan C semalam, lapor Agensi Anadolu.

Di sebalik beberapa usaha yang dilakukan, kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang gol pada separuh masa pertama di Stadium Lusail.

Mexico memecah kebuntuan, menerusi Henry Martin yang melakukan jaringan dari jarak dekat pada minit ke-48.

Selepas lima minit, Luis Chavez melakukan sepakan percuma jarak jauh yang menakjubkan dan menewaskan penjaga gol Mohammed Alowais.

Pada minit ke-56, Hirving Lozano menjadikan kedudukan 3-0, tetapi dibatalkan kerana ofsaid.

Sementara itu, pemain Arab Saudi Salem Aldawsari berjaya menjaringkan gol pada masa kecederaan dan perlawanan berakhir 2-1.

Dengan keputusan ini, Argentina berada di tangga teratas Kumpulan C dengan enam mata, Poland dan Mexico masing-masing mengumpul empat mata dan Arab Saudi di tangga terbawah kumpulan dengan tiga mata.

Poland menduduki tempat kedua dan berjaya mara ke peringkat seterusnya, mengetepikan Mexico dengan perbezaan gol. – Bernama, 1 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen