Apple tidak berhasrat keluarkan Twitter dari App Store


Apple tidak bercadang mengeluarkan platform media sosial Twitter daripada App Store, kata Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Elon Musk. – Gambar EPA, 1 Disember, 2022.

KETUA Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook tidak bercadang untuk mengeluarkan platform media sosial Twitter daripada App Store (kedai aplikasinya) walaupun terdapat laporan bahawa gergasi teknologi itu mengancam berbuat demikian sebelum ini, kata ketua Pegawai Eksekutif Twitter Elon Musk.

“Perbualan yang baik. Antara lain, kami menyelesaikan salah faham tentang Twitter yang berpotensi dikeluarkan daripada App Store. Tim menjelaskan bahawa Apple tidak berhasrat untuk berbuat demikian,” kata Musk selepas menghadiri mesyuarat di ibu pejabat Apple, lapor Sputnik.

Pada Isnin, Musk mendakwa Apple mengancam untuk mengeluarkan Twitter daripada kedai aplikasinya, yang akan mengakibatkan platform itu tidak dapat diakses sebahagian besar telefon bimbit.

Spekulasi mengenai isu itu didorong laporan eksekutif Apple Phil Schiller meninggalkan Twitter susulan pembaharuan yang dibuat Musk.

Musk memuktamadkan pemerolehan Twitter pada Oktober dan berikrar untuk meningkatkan kebebasan bersuara.

Syarikat itu turut mengembalikan semula banyak akaun yang disekat sebelum ini, termasuk akaun milik bekas presiden Donald Trump.

Musk berkata beliau akan mencipta telefon pintar baharu jika Apple atau Google mengeluarkan Twitter daripada kedai aplikasi mereka. – Bernama, 1 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen