BERSATU perlu memimpin Pakatan Harapan (PH) sama seperti Umno menguasai Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan gabungan pembangkang mendapat sokongan pengundi Melayu terutamanya mereka di luar bandar, kata Wan Saiful Wan Jan.
Timbalan pengarah strategi dan dasar Bersatu itu berkata kehadiran parti serpihan Umno itu dalam PH adalah untuk meyakinkan pengundi Melayu bahawa gabungan pembangkang tidak akan mengorbankan agenda Melayu sekiranya diberi peluang membentuk kerajaan.
“Apabila kita bercakap soal orang Melayu perlu berubah dan undi PH, Bersatu perlu ketuai PH dan mengambil alih (tunjang parti) seperti mana Umno (dalam BN).
“Agenda Bersatu perlu diterima sebagai naratif terbesar PH kalau tidak ia tidak akan berlaku,” katanya, yang baru menyertai Bersatu enam hari lalu.
Bekas pemimpin badan penyelidik Ideas itu berkata, Bersatu perlu dilihat menjuarai perjuangan agenda Melayu untuk mengubah mentaliti kumpulan etnik itu yang merasakan agenda Melayu akan terhakis sekiranya pembangkang memerintah.
Beliau juga sedar ia bukan perkara mudah kerana komuniti Melayu sejak sekian lama didoktrinkan kononnya kedudukan Melayu akan terhapus sekiranya pembangkang memerintah.
“Kami sedar Umno paparkan imej ketakutan sejak sekian lama. Orang Melayu berfikir seperti itu.
“Untuk Melayu berubah minda mereka perlukan parti Melayu yang kuat dan memastikan tidak ada perubahan dalam kedudukan mereka…Bersatu perjuangkan itu,” katanya dalam satu forum di ibu negara malam tadi.
Tambahnya, sekiranya PH memenangi pilihan raya, Bersatu akan memimpin kerajaan.
“Bersatu perlu dilihat sebagai parti yang akan mengambil alih daripada Umno, cabaran yang Bersatu hadapi adalah Melayu terdedah dengan propaganda Cina akan ambil alih, sedangkan itu propaganda.
“Kalau PH menang Bersatu akan ketuai kerajaan, seperti Umno pimpin negara,” katanya.
PH dijadual mendedahkan secara menyeluruh tawarannya kepada rakyat Malaysia untuk PRU14 pada Khamis ini apabila ia mengumumkan manifestonya dalam satu majlis di Shah Alam. – 6 Mac, 2018.
Komen