Pihak berkuasa Sepanyol rampas 5.6 tan kokain bernilai 340 juta euro


SEBANYAK 5.6 tan kokain bernilai lebih 340 juta euro dirampas di pelabuhan Valencia, rampasan terbesar dalam tempoh empat tahun, kata pihak berkuasa Sepanyol semalam.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata polis menemui dadah tersebut ketika memeriksa sebuah kontena yang tiba dari Amerika Selatan di pelabuhan Mediterranean.

Kementerian itu turut mengongsikan foto menunjukkan timbunan batu bata berbalut plastik yang dikatakan kokain, dan tertera perkataan “rey” (raja).

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Polis Eropah (Europol) berkata pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang di enam negara berbeza termasuk Sepanyol menumpaskan “kartel super” pengedar dadah yang mengawal kira-kira satu pertiga daripada perdagangan kokain di Eropah.

Agensi penguatkuasa undang-undang Sepanyol Guardia Civil berkata seramai 13 orang ditahan di negara itu sebagai sebahagian daripada operasi bersama berkenaan.

“Kartel super” itu akan membawa kokain dari Panama ke Sepanyol melalui pelabuhan Mediterranean Algeciras, Barcelona dan Valencia dan akan mencuci wang yang diperoleh menerusi pembelian hartanah di selatan pantai Sepanyol.

Kedudukan Sepanyol yang hampir dengan Afrika Utara, sumber utama hasyis (sejenis dadah yang dihasilkan daripada Cannabis sativa), dan hubungan rapatnya dengan Amerika Latin, menyebabkan negara itu jadi laluan masuk dadah ke Eropah. – AFP, 1 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen