3 angkasawan China tiba di stesen angkasa lepas


Tiga angkasawan China yang dikenali sebagai taikonaut itu ialah Fei Junlong, Deng Qingming dan Zhang Lu. – Gambar Facebook ShanghaiEye, 1 Disember, 2022.

TIGA angkasawan China yang menaiki kapal angkasa Shenzhou-15, tiba di stesen angkasa China pada Rabu, kejayaan pertama dalam sejarah angkasa lepas China, sekali gus menambah tenaga kerja di makmal angkasa dalam orbit kepada enam, lapor Agensi Anadolu.

“Tiga angkasawan di atas kapal angkasa #Shenzhou XV China memasuki Stesen Angkasa China dan bertemu dengan trio angkasawan lain pada Rabu, suatu pertemuan bersejarah yang menambah jumlah tenaga manusia di makmal angkasa dalam orbit kepada enam,” tulis Stesen Angkasa China di Twitter. .

Lewat Selasa China berjaya melancarkan kapal angkasa Shenzhou-15 bersama angkasawannya  pada 11.08 malam (1508GMT).

“Kapal angkasa berrjaya berlabuh secara automatik di stesen angkasa Tianhe pada pukul 5.42 pagi Rabu (Waktu Beijing),” kata agensi angkasa lepas itu.

Tiga angkasawan yang dikenali sebagai taikonaut itu ialah Fei Junlong, komander misi, Deng Qingming dan Zhang Lu.

“Mereka akan berada di angkasa selama enam bulan. Objektif utama misi itu termasuk mengesahkan keupayaan stesen angkasa untuk menyokong penggiliran dan peralihan kru dalam orbit pertama dengan anggota Shenzhou-14,” Global Times memetik Ji Qiming, jurucakap Agensi Angkasa China, sebagai berkata pada Isnin.

Pada Jun, Beijing melancarkan kapal angkasa Shenzhou-14 menggunakan roket Long March 2F, membawa tiga anak kapal untuk tinggal selama enam bulan di stesen angkasa baharu negara itu. – Bernama, 1 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen