2 maut, 24 cedera dalam letupan bunuh diri di Pakistan


Siasatan awal mendapati kira-kira 25 kilogram bahan letupan digunakan dalam insiden di Quetta, ibu kota wilayah Balochistan di barat daya Pakistan, pada Rabu. – Gambar EPA, 1 Disember, 2022.

SEKURANG-kurangnya dua orang terbunuh manakala 24 yang lain cedera akibat kejadian letupan bunuh diri membabitkan sebuah trak polis di Quetta, ibu kota wilayah Balochistan di barat daya Pakistan, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Quetta, Ghulam Azfar Mahesar memberitahu Xinhua bahawa beca milik pengebom bunuh diri yang sarat dengan bahan letupan meledak berhampiran sebuah trak pasukan konstabel Balochistan di kawasan Baleli, Quetta.

Letupan itu mengorbankan dua nyawa termasuk seorang anggota polis manakala 24 yang lain cedera.

Kesan letupan itu turut mengenai dua kenderaan persendirian.

Anggota polis, pasukan keselamatan dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dan memindahkan mayat dan mangsa yang cedera ke hospital berdekatan.

Siasatan awal mendapati kira-kira 25 kilogram bahan letupan digunakan dalam insiden itu.

Polis dan pasukan keselamatan telah mengepung kawasan itu dan melancarkan operasi mencari di wilayah berkenaan.

Media tempatan melaporkan kumpulan Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP) yang diharamkan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. – Bernama, 1 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen