SARAWAK sudah mendapatkan semua hak untuk meneroka, cari gali dan membangunkan industri minyak dan gas di negeri itu, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.
Beliau mengatakan menjelang Julai tahun ini, Sarawak akan “mendapat autoriti pengawalan penuh berkaitan dengan semua aspek hiliran dan huluan industri minyak dan gas di Sarawak”.
Ini bermakna, selepas Julai semua syarikat termasuk Petronas yang mahu beroperasi di negeri itu perlu mendapatkan lesen penerokaan daripada kerajaan negeri.
Sebelum ini, syarikat minyak beroperasi di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) bermaksud mereka hanya perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan.
Abang Johari berkata Sarawak kini akan menggunakan hak dan undang-undangnya menyebabkan “semua orang dan syarikat terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak, perlu mendapatkan lesen, permit, pajakan dan kelulusan diperlukan di bawah sama ada Ordinan Perlombongan Sarawak atau Ordinan Pengedaran Gas”.
“Mereka diperlukan untuk mengawal selia operasi dan aktivit mereka bagi mematuhi semua undang-undang negeri termasuklah yang berkaitan dengan penggunaan dan pemilikan tanah”.
Beliau bagaimanapun memberikan jaminan yang penguatkuasaan undang-undang negeri “tidak akan menjejaskan kepentingan atau pelaburan Petronas atau syarikat lain yang sudah terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak, sama ada di (industry) hiliran atau huluan”.
“Tetapi aktiviti perniagaan dan operasi mereka perlu diselaraskan dengan undang-undang dan peraturan kita.”
Ketua menteri turut mengatakan Kabinet Sarawak sudah meluluskan rang undang-undang bagi meminda Ordinan Perlombongan Minyak dengan “menambah baik peruntukan dan untuk menyediakan penguatkuasaan yang lebih baik”.
Katanya, rang undang-undang itu akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Julai nanti. – 6 Mac, 2018.
Komen