TWITTER berkata ia berhenti menguatkuasakan dasar yang bertujuan mencegah penyebaran maklumat salah mengenai Covid-19, ketika pemilik baharu Elon Musk terus membuat semula dasar penyederhanaan kandungannya.
Tindakan itu dibuat selepas jutawan itu mengaktifkan semula beberapa akaun di rangkaian media sosial yang sebelum ini diharamkan kerana melanggar peraturan kandungannya, seperti bekas presiden Donald Trump.
“Berkuat kuasa 23 November 2022, Twitter tidak lagi menguatkuasakan dasar maklumat mengelirukan Covid-19,” tulis mesej yang disiarkan di halaman web ketelusan Twitter.
Semasa pandemik, Twitter mengambil langkah melabelkan tweet mengelirukan mengenai Covid-19 dan mengeluarkan pengguna yang berterusan menyebarkan maklumat salah tersebut.
Kandungan yang diharamkan termasuk kenyataan yang bertujuan mempengaruhi orang ramai supaya melanggar garis panduan pihak berkuasa kesihatan, serta penawar palsu atau penafian fakta saintifik, menurut blog Twitter.
Sehingga September tahun ini, Twitter menggantung 11,230 akaun di bawah dasar itu, menurut blog itu.
Musk, yang juga pemilik Tesla, bertelagah dengan pegawai pada 2020 berhubung arahan keselamatan pandemik yang menutup sementara kilang kereta gergasi kereta elektrik itu di California, menyifatkan perintah perlindungan sebagai “fasis” dan “mengejutkan” yang melanggar kebebasan peribadi.
Di bawah Musk, Twitter mula menghidupan semula kira-kira 62,000 akaun dalam apa yang dirujuk pihak dalaman sebagai “The Big Bang,” menurut blog berita Platformer.
Sejak mengambil alih platform itu bulan lepas, Musk mengurangkan separuh daripada tenaga kerja Twitter, termasuk ramai pekerja yang ditugaskan untuk memerangi maklumat salah, manakala bilangan yang berhenti secara sukarela tidak diketahui.
Yoel Roth, bekas ketua amanah dan keselamatan di Twitter yang berhenti selepas Musk mengambil alih, berkata semasa temu bual pada Selasa di persidangan Knight Foundation yang beliau tidak pasti berapa ramai pekerja masih ada di syarikat itu untuk memantau kandungannya.
“Saya tidak dapat memberitahu anda, kerana direktori korporat kami ditutup sejak pengambilalihan dan hampir mustahil untuk mengetahui secara konklusif siapa yang masih ada di Twitter,” kata Roth.
Musk percaya semua kandungan yang dibenarkan oleh undang-undang harus dibenarkan di Twitter, dan pada Isnin menyifatkan tindakannya sebagai “revolusi menentang penapisan dalam talian di Amerika.”
Walaupun Musk berkata Twitter sedang melihat rekod penglibatan yang tinggi dengannya sebagai peneraju, pendekatan itu mengejutkan pihak pengiklan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, separuh daripada 100 pengiklan utama Twitter mengumumkan menggantung pengiklanan di Twitter, menurut analisis dijalankan oleh kumpulan pemerhati bukan berasaskan keuntungan, Media Matters. – AFP, 30 November, 2022.
Komen