SEBUAH trak membawa rombongan perkahwinan terhumban dari sebuah jambatan di barat India hari ini membunuh sekurang-kurangnya 30 orang, kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, kata pegawai.
Sebelum ini, pihak berkuasa meletakkan jumlah korban pada 25 orang sebelum jumlah itu meningkat kerana ada mangsa yang mati ketika mendapat rawatan di hospital.
Polis Gujarat mengatakan kemalangan itu berlaku selepas trak itu cuba memotong sebuah van tetapi hilang kawalan sebelum jatuh daripada ketinggian lapan meter ke dalam sungai yang kering.
Gambar tempat kejadian menunjukkan penumpang yang berdarah dibantu orang ramai dan mangsa yang terbunuh ditutup dengan kain.
Ramai penumpang ditimpa trak itu selepas ia jatuh ke bawah.
A.M Sayyed, timbalan ketua polis mengatakan jumlah kematian naik selepas lima mangsa meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital.
Hampir 60 orang menaiki trak itu dan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, kata anggota polis tempatan K.J. Kadapda kepada AFP.
Ramai mangsa lagi dalam keadaan kritikal dan pihak berkuasa mengatakan jumlah korban mungkin meningkat.
Kemalangan itu berlaku di daerah Bhavnagar hampir 200 kilometer dari ibu kota negeri itu, Ahmedabad.
Pihak berkuasa mengumumkan bantuan kewangan sebanyak AS$6,148 kepada keluarga mangsa.
India mempunyai kadar kemalangan jalan raya maut tertinggi dunia.
Lebih daripada 150,000 orang terbunuh setiap tahun dalam kemalangan disebabkan jalan raya teruk, kenderaan buruk dan lama serta kecuaian pemanduan. – AFP, 6 Mac, 2018.
Komen