-2.jpg)
PERSATUAN Hak Dapat Makanan Malaysia (Hadam) mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia yang kesepuluh.
Sehubungan dengan itu Hadam menyeru perdana menteri untuk segera menangani isu sekuriti makanan yang semakin meruncing selepas kita keluar daripada gejala pandemik yang masih belum pulih sepenuhnya.
Menurut Global Nutrition Report 2022 pada masa ini kita mempunyai 2 juta (6.3%) rakyat yang kelaparan atau tidak mampu menghidang makanan setiap hari.
Hadam berharap pimpinan pemerintah baru dapat memberi tumpuan dan mengambil tindakan segera kepada isu-isu berikut:
1. Memastikan harga makanan dan minuman asas yang kini semakin meningkat tidak terus meningkat atau mewujudkan skim bantuan makanan yang dapat menampung semua golongan peringkat penduduk, terutama sekali golongan miskin.
2. Melaksanakan pemberian hidangan makanan percuma berbentuk sejagat kepada semua kanak-kanak sekolah rendah tanpa mengira tingkat pendapatan keluarga mereka.
3. Melaksanakan bayaran balik kepada kanak-kanak di bawah skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dinafikan hak mereka sewaktu sekolah tutup selama 2 tahun (2020 dan 2021), walhal bajet untuk RMT telah diluluskan di Parlimen pada 2019 dan 2020.
4. Mewujudkan kementerian yang bertanggungjawab terhadap sekuriti makanan negara. Hadam mencadangkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ditukar nama kepada Kementerian Pertanian dan Makanan, serta melantik seorang menteri yang peka soal makanan penduduk, bukan kepentingan keuntungan pihak industri.
5. Hadam menyeru supaya empat komponen asas sekuriti makanan sentiasa dikawal dan dipantau, ini termasuklah;
(a) Ada makanan
(b) Makanan boleh didapati dan orang mampu membeli
(c) Pengambilan makanan yang memenuhi keperluan nutrient harian setiap individu (d) Jaminan bekalan makanan pada waktu kecemasan, kegawatan dan malapetaka.
Jaminan makanan yang cukup bakal meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia selaras dengan tiga tujuan teratas Sustainable Development Goals (SDGs), iaitu – tiada kemiskinan, tiada kelaparan dan kesihatan serta kesejahteraan. – 30 November, 2022.
* Dr Wan Abdul Manan Wan Muda, pengerusi Hadam.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen