Lebih 300 maut protes kematian Mahsa Amini di Iran


Protes di Iran susulan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis kerana didakwa melanggar kod pakaian mendapat liputan luas media antarabangsa. – Gambar EPA, 30 November, 2022.

LEBIH 300 orang maut dalam tempoh lebih dua bulan ekoran protes yang tercetus akibat kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis, menurut kerajaan Iran.

Pasukan keselamatan dikerahkan ke seluruh negara susulan ‘rusuhan’ tercetus selepas Amini, 22, meninggal dunia pada 16 September lalu, tiga hari selepas wanita itu ditahan kerana didakwa melanggar kod pakaian.

Jumlah kematian itu didedahkan Ketua Pengawal Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Brigedier Jeneral Amirali Hajizadeh dalam video diterbitkan agensi berita Mehr.

“Saya tidak mempunyai angka terkini, tetapi mungkin lebih 300 orang, ” kata Hajizadeh.

Antara yang terkorban adalah puluhan anggota polis, tentera dan pasukan keselamatan separa tentera Basij, tambahnya.

Jumlah kematian itu itu menghampiri angka yang dilaporkan pertubuhan bukan kerajaan Iran Human Rights yang berpangkalan di Oslo, Norway. 

Sekurang-kurangnya 416 orang ‘maut dalam penindasan protes di Iran’, kata pertubuhan itu. Ia mendakwa jumlah itu termasuk mereka yang terbunuh dalam insiden keganasan berhubung protes kematian Amini dan pergolakan di wilayah tenggara Sistan-Baluchistan, dekat sempadan Pakistan dan Afghanistan. 

Menurut pihak berkuasa kehakiman Iran ribuan rakyat negara itu dan kira-kira 40 warga asing ditahan, manakala lebih 2,000 orang sudah didakwa setakat ini. – AFP, 30 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen