Banjir kilat landa Sepang, Putrajaya


Keadaan banjir kilat di Dengkil dekat Sepang hari ini susulan hujan lebat sejak jam 2 petang di kawasan itu. – Gambar Facebook My Dengkil, 29 November, 2022.

HUJAN berterusan sejak jam 2 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Sepang dan Putrajaya dilanda banjir kilat.

Seorang penduduk Dengkil, K Ramadass ketika dihubungi berkata antara kawasan terjejas adalah Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan Kampung Ampar Tenang.

Beliau berkata terdapat kawasan perumahan turut dinaiki air lumpur yang menenggelamkan hampir separuh kereta.

Laman Facebook MyDengkil dan Sepang Viral turut berkongsikan maklumat kawasan terjejas termasuk Jalan Jenderam-Salak Tinggi yang mengalami kesesakan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata di Dengkil, paras air mulai surut di beberapa kawasan antaranya Taman Delima Jaya dan Taman Delima susulan hujan semakin reda.

Beliau berkata, di Kota Warisan berhampiran stesen minyak Shell, terdapat air hujan bertakung pada kedalaman 0.3 meter namun ia semakin surut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya Mohd Afizi Zolkifli berkata pihaknya menggerakkan anggota untuk melakukan rondaan di beberapa kawasan terjejas banjir kilat di sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

“Pemantauan melalui kamera litar tertutup sentiasa dibuat dan rondaan kawasan oleh pasukan sedang dijalankan. Saya percaya pasukan petugas Perbadanan Putrajaya (PPj) pun sedang dan sudah membuat pemantauan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat di kawasan terowong Presint 5 namun kejadian itu berjaya diselesaikan dengan tindakan pantas daripada pasukan petugas PPj dan JBPM.

“Kita ada terima laporan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi di Putrajaya tapi ia sudah surut. Sebarang perkembangan boleh rujuk di laman sosial Facebook JBPM dan PPj,” katanya.

Tinjauan di laman sosial Facebook PPj mendapati pihak perbadanan itu memuat naik amaran berjaga-jaga kepada kakitangan awam dan warga pusat pentadbiran kerajaan berikutan hujan lebat berterusan sejak jam 2 petang tadi.

Menurut maklumat di laman sosial itu, PPj mengenal pasti beberapa kawasan berisiko banjir kilat iaitu di Presint 18 berdekatan stesen minyak, Lebuh Wadi Ehsan Presint 19 serta terowong Presint 5 dan menggerakkan pasukan petugas ke lokasi terbabit untuk tindakan awal bagi mengelak banjir kilat berlaku.

Jurucakap Unit Komunikasi PPj ketika dihubungi berkata, tindakan serta-merta pasukan petugas perbadanan itu berjaya mengawal aliran dan limpahan air hujan di saluran longkang serta jalan raya bagi mengelak berlaku banjir kilat terutama di kawasan rendah.

“Beberapa kawasan dikenal pasti kembali normal dan siap dibersihkan pasukan petugas PPj serta Alam Flora Sdn Bhd,” katanya. – Bernama, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen