Zahid mungkin TPM pilihan Anwar, kata sumber


The Malaysian Insight

Ahmad Zahid Hamidi adalah sekutu Anwar Ibrahim jadi tidak hairan beliau mungkin dilantik sebagai salah seorang timbalan perdana menteri Kabinet PM10, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2022.

ANWAR Ibrahim berkemungkinan besar menamakan Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri bagi membentuk kerajaan yang stabil, kata sumber parti.

Presiden Umno yang berdepan kemelut itu adalah pilihan kontroversi dan menjadi sasaran utama musuh politik, pengundi malah ahli partinya sendiri pada kempen pilihan raya 19 November lalu dan hampir tidak mengekalkan kubu kuatnya di Bagan Datuk apabila menang dengan majoriti hanya 348 undi.

Di sebalik pergolakan dalaman itu, Zahid yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatat sejarah paling buruk dalam pilihan raya umum apabila BN hanya menang 30 kerusi Parlimen, menjadi penentu pembentukan kerajaan baharu dengan menyokong Pakatan Harapan (PH) diketuai Anwar.

PH menang 82 kerusi berbanding Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin yang memperoleh 73 kerusi.

“Realitinya Zahid membantu Anwar untuk menjadi PM dan ia perlu diperakui. Beliau juga satu-satunya individu yang boleh membantu mengekalkan 30 kerusi BN,” kata satu sumber rapat mengenai pembentukan Kabinet Anwar.

“Apa yang kita mahu lihat, beri Anwar kebebasan untuk memilih timbalan dan Kabinetnya. Jika ia tidak berfungsi, buang saja mereka,” katanya.

Seorang lagi timbalan dikatakan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana Anwar berkata, beliau akan menamakan dua bagi jawatan itu yang merupakan konvensyen politik dan bukannya mengikut peruntukan perlembagaan.

Kabinet baharu mungkin dinamakan seawal hari ini tetapi The Malaysian Insight difahamkan perdana menteri mempunyai masa hingga hujung minggu ini untuk mengemukakan senarai kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 Khamis lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Parlimen tergantung tanpa ada gabungan yang meraih majoriti mudah. Baginda menamakan Anwar sehari selepas menjemput beliau dan Muhyiddin untuk membentuk kerajaan perpaduan. Muhyiddin bagaimanapun menolaknya.

Anwar Ibrahim bersama sekutu utamanya dalam Pakatan Harapan, Mohamad Sabu (kiri) dari Amanah dan Anthony Loke pemimpin DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2022.

“Setiap gabungan atau blok yang menyertai Anwar membuat permintaan mereka tetapi beliau menjelaskan ia satu Kabinet kecil jadi beliau perlu memastikan mereka yang dipilih dapat mengekalkan penyokong mereka.

“Hanya Zahid bagi BN. Tiada siapa boleh melaksanakan tugas itu,” kata seorang sekutu Anwar.

Zahid sendiri adalah sekutu Anwar sejak zaman awalnya dalam Umno. Beliau ditahan hampir dua bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan sehari selepas Anwar ditangkap atas tuduhan menyalahgunakan kuasa dan liwat pada September 1998.

Pengkritik marah minggu ini mengenai spekulasi Zahid boleh menjadi timbalan perdana menteri, menyatakan beliau masih mempunyai 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram walaupun dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah September lalu.

Anwar berkata beliau akan mempertimbangkan setiap pandangan dalam menamakan Kabinetnya tetapi tidak menolak sebarang nama daripada 147 ahli Parlimen lain dalam kerajaannya.

Selain Zahid, calon lain BN bagi jawatan itu adalah ahli Parlimen Rembau dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan walaupun sebelum ini beliau berkata, BN harus berkecuali dan kekal sebagai pembangkang dalam persaingan untuk membentuk kerajaan.

Sumber BN berkata Anwar mempunyai pilihan tetapi sebaliknya boleh berlaku jika BN menyokong PN untuk membentuk kerajaan.

“Kami berdebat mengenai Zahid minggu ini. Bayangkan jika Perikatan berkuasa, kami akan mempersoalkan sama ada Hadi Awang patut menjadi timbalan perdana menteri. Bayangkan ia dahulu,” katanya merujuk kepada presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mana partinya adalah parti Melayu terbesar memenangi kerusi pada PRU15 dengan 43 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

“Dibandingkan dengan Hadi, Zahid lebih baik. Dan beliau pernah menjadi TPM sebelum ini,” tambahnya. – 30 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen