Gerakan Tanah Air dan komponennya patut dibubar, kata penganalisis politik 


Ravin Palanisamy

Gabungan Gerakan Tanah Air yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2022.

GABUNGAN Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad harus dibubarkan kerana ia tidak mempunyai masa depan dalam arena politik Malaysia, kata pakar.

Mereka merasakan ideologi dan motif gabungan itu tidak diterima oleh orang ramai, yang membawa kepada kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, yang juga merupakan pilihan raya pertamanya.

Tunku Mohar Tunku Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata gabungan GTA, termasuk partinya, hanyalah “ikan kecil di kolam besar” dan mendakwa mereka tidak mempunyai apa-apa yang segar untuk ditawarkan kepada golongan sasarannya - orang Melayu.

“Parti GTA, termasuk Pejuang, adalah kecil dalam persekitaran politik yang dipimpin oleh gabungan yang lebih besar.

“Mereka tidak mempunyai sesuatu yang baru untuk ditawarkan kepada pengundi Melayu, yang sudah ada Umno, PAS dan Bersatu yang turut merebut undi Melayu,” katanya.

Tunku Mohar mencadangkan parti dalam gabungan GTA dibubarkan dan menggesa mereka menyertai parti politik lain yang membawa aspirasi politik yang sama.

“Pilihan terbaik mereka ialah membubarkan parti GTA dan menyertai parti sedia ada yang mereka fikir paling hampir dengan asas perjuangan mereka,” katanya.

Gabungan pro-Melayu itu dianggotai oleh Pejuang Dr Mahathir, Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Gabungan itu juga termasuk pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik serta golongan profesional.

GTA, yang meletakkan 125 calon untuk kerusi Parlimen, bertanding di bawah sepanduk Pejuang dan logo Putra di Kelantan, kerana Pendaftar Pertubuhan masih belum meluluskan pendaftarannya sebagai gabungan.

Semua calon hilang kerusi, akhirnya turut kehilangan wang deposit, termasuk pengerusi gabungan Dr Mahathir dan anaknya Mukhriz, yang masing-masing gagal mempertahankan kerusi di Langkawi dan Jerlun.

Kekalahan Dr Mahathir adalah yang pertama dalam tempoh 53 tahun.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga berkata parti-parti dalam GTA harus dibubarkan, mengatakan mereka tidak mempunyai masa depan dalam politik Malaysia.

Katanya, orang Melayu kini lebih cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Saya rasa Dr Mahathir patut membubarkan partinya kerana orang Melayu kini menyokong penuh agenda PN. Pejuang tidak ada masa depan,” kata penganalisis itu.

Mazlan menyangka ini merupakan kemunculan terakhir Dr Mahathir dalam politik berikutan peletakan jawatannya daripada Bersatu namun pemimpin berusia 97 tahun itu kembali membentuk Pejuang yang berpaksikan Melayu.

Pensyarah kanan UTM itu berharap Dr Mahathir, yang memegang rekod sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini, berehat daripada politik, dengan mendakwa agendanya tidak disokong rakyat.

Sementara itu Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, percaya gabungan itu akan beransur-ansur dibubarkan pada masa hadapan.

Beliau percaya bahawa pemimpin veteran itu adalah sebab mengapa gabungan itu wujud.

“Saya fikir apabila Dr Mahathir mengumumkan persaraannya (pada masa depan) pada asasnya akan membuatkan parti dan gabungan ini gagal.

“Mereka akan pudar kerana mereka sangat mengutamakan Dr Mahathir dan mereka wujud kerana beliau,” katanya.

Ketika ditanya apakah masa depan ahli politik lain dalam Pejuang dan GTA, termasuk Mukhriz, Oh berkata ‘ahli politik akan sentiasa ada masa depan’.

“Ahli politik sentiasa mempunyai cara untuk terus hidup. Mereka akan mencari cara mereka sendiri,” katanya.

Beberapa hari selepas prestasi buruk mereka pada PRU15, Dr Mahathir bercakap kepada umum dan berkata bahawa beliau sedih dengan kekalahan parti itu.

Orang dalam parti berkata bahawa mereka masih mempertimbangkan pilihan mereka mengenai kemungkinan tindakan seterusnya.

Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN (73) kerusi, Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga).

Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai (Kedah) dan kerusi DUN Tioman di Pahang akan diadakan serentak dengan penamaan calon pada 24 November, dan pengundian pada 7 Disember.– 30 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen