Jenayah indeks menurun 19.3% pada 2021


STATISTIK jenayah indeks tahun lalu didapati menurun 19.3% kepada 52,974 kes berbanding 65,623 kes pada tahun 2020, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurutnya, jenayah indeks terdiri daripada jenayah kekerasan serta jenayah harta benda dan kedua-dua jenis jenayah itu menunjukkan penurunan iaitu masing-masing 13.4% dan 20.8% kepada 11,495 kes dan 41,479 kes pada 2021.

“Antara punca kes jenayah yang lebih rendah adalah disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan (PKP), sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri dikenakan. Selain itu, aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa dan kesedaran masyarakat dalam meningkatkan perlindungan daripada ancaman jenayah,” menurut laporan itu.

Sementara itu, bilangan kes jenayah komersial yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2021 meningkat 15.3% kepada 31,490 kes berbanding 27,323 kes pada tahun sebelumnya.

Bagi jenayah komersial, kes tertinggi direkodkan adalah kes tipu dengan 91.6% (28,842 kes) daripada 31,490 kes, diikuti kes pecah amanah (942 kes), kes kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (847 kes), jenayah siber (400 kes) dan kes wang palsu (204 kes).

Menurut laporan itu, bilangan kes dan tangkapan dadah yang dilaporkan PDRM susut pada 2021 iaitu masing-masing 11.2% dan 11.3% kepada 108,220 kes dan 129,604 tangkapan, namun bilangan kes membekal dadah naik kepada 25,277 tangkapan berbanding 23,536 tangkapan pada 2020.

Selain itu, statistik membabitkan rasuah, kertas siasatan yang dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan penurunan 3.4% pada 2021 iaitu 828 kes berbanding 857 kes pada tahun sebelumnya.

DOSM turut melaporkan bilangan kes jenayah seksual membabitkan mangsa 18 tahun ke bawah mencatat pertambahan 0.9% dengan 1,481 kes pada 2021 berbanding 1,468 kes pada 2020.

Sementara itu, bagi kesalahan trafik, bilangan saman trafik dikeluarkan PDRM tahun lalu naik 166.2% kepada 14 juta saman berbanding 5.3 juta saman pada 2020.

Bagi jenayah maritim, bilangan tangkapan tertinggi dilaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2021 adalah kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 (575 kes), diikuti kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (198 kes) dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (178 kes).

Menurut laporan itu, dari segi aspek pemulihan, bilangan kanak-kanak yang terbabit dengan jenayah berkurang 35.3% kepada 3,457 kes pada 2021 daripada 5,342 kes pada 2020.

Bilangan kes bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing mencatat pengurangan 34.4% dan 43.8% kepada 3,171 kes (2020: 4,833 kes) dan 286 kes (2020: 509 kes). – Bernama, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen