Putera Mahkota Saudi lancar pelan induk Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Salman


Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz mengumumkan pelan induk untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Salman pada Isnin.– Gambar AFP, 29 November, 2022.

PUTERA Mahkota Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz, perdana menteri dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan (CEDA) serta Pengerusi Public Investment Fund (PIF), pada Isnin mengumumkan pelan induk untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Salman.

Projek itu akan meningkatkan kedudukan Riyadh sebagai hab logistik global, merangsang pengangkutan, perdagangan dan pelancongan serta bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan Timur dan Barat, lapor Petra.

Projek lapangan terbang itu juga selaras dengan visi Arab Saudi untuk mentransformasikan Riyadh sebagai antara sepuluh ekonomi bandar terbaik di dunia selain menyokong pertumbuhan penduduk Riyadh kepada 15 juta hingga 20 juta orang menjelang 2030, menurut Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Salman dijangka menjadi antara lapangan terbang terbesar di dunia dengan keluasan kira-kira 57km, membolehkan enam landasan selari termasuk terminal sedia ada yang dinamakan sempena Raja Khalid. Ia juga akan merangkumi 12km kemudahan sokongan lapangan terbang, kemudahan kediaman dan rekreasi, kedai runcit dan hartanah logistik lain.

Lapangan terbang itu menyasarkan untuk menampung sehingga 120 juta pelawat menjelang 2030 serta 185 juta pelawat dan keupayaan memproses 3.5 juta tan kargo menjelang 2050.

Ia akan menjadi aerotropolis yang bertumpu pada perjalanan pelanggan yang lancar, operasi cekap bertaraf dunia dan inovasi. Identiti Riyadh dan budaya Saudi akan diambil kira dalam reka bentuk lapangan terbang untuk memastikan pengalaman perjalanan yang unik untuk pelawat dan pengembara transit.

Dengan kemampanan sebagai terasnya, lapangan terbang baharu itu akan mencapai pensijilan LEED Platinum dengan menggabungkan inisiatif hijau termaju ke dalam reka bentuknya dan akan dikuasakan oleh tenaga boleh baharu.

Pengumuman itu merupakan sebahagian daripada strategi PIF yang memberi fokus kepada usaha untuk memanfatkan keupayaan sektor yang dapat meningkatkan usaha Arab Saudi dalam mempelbagai ekonomi yang sejajar dengan Strategi Pengangkutan Nasional dan Inisiatif Ketahanan Rantaian Bekalan Global.

Lapangan terbang baharu itu dijangka menyumbang 27 bilion riyal Saudi setiap tahun kepada KDNK bukan minyak dan mewujudkan 103,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung, selaras dengan objektif Wawasan 2030.– Bernama, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen