Berjuta rakyat Bangladesh hilang tempat tinggal akibat perubahan iklim pada 2022


Bangladesh disenaraikan sebagai negara ketujuh paling berisiko dalam Indeks Risiko Iklim Global 2020. – Gambar AFP, 29 November, 2022.

BERJUTA-JUTA orang di Bangladesh hilang tempat tinggal dan mata pencarian akibat kesan perubahan iklim tahun ini hingga menyebabkan penghijrahan dalam negeri yang tidak dapat dibendung, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.

Lebih 7.1 juta warga Bangladesh kehilangan tempat tinggal akibat perubahan iklim pada 2022, dan jumlah itu boleh mencecah 13.3 juta menjelang 2050, menurut WHO.

Sementara itu, Kementerian Luar Bangladesh menjelaskan bahawa perubahan iklim menjejaskan satu peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setiap tahun, lapor Agensi Anadolu.

Menurut anggaran, peningkatan paras laut akan menenggelamkan sekitar 17% daratan pantai negara dan kira-kira 20 juta orang bakal hilang tempat tinggal menjelang 2050. 

Bangladesh disenaraikan sebagai negara ketujuh paling berisiko dalam Indeks Risiko Iklim Global 2020.

Shafi Mohammad Tareq, pakar iklim di Universiti Jahangirnagar, berkata penghijrahan berlaku apabila keperluan asas seperti air, bekalan makanan dan peluang kerja terganggu atau musnah.

“Wilayah pantai Bangladesh mencatatkan tahap kemasinan dan jumlah taufan yang semakin meningkat, manakala tahap kebersihan yang buruk menyebabkan penderitaan kepada penduduk tempatan. 

“Industri pertanian menjadi sukar susulan tahap kemasinan dalam tanah,” kata Tareq, pakar iklim dan profesor di Jabatan Sains Alam Sekitar kepada Agensi Anadolu.

Sementara itu, wilayah barat dan utara negara itu mengalami krisis bekalan air bersih yang teruk disebabkan kehadiran besi dan arsenik dari sumber air bawah tanah, manakala ramai orang kehilangan mata pencarian di sepanjang ratusan sungai di seluruh negara,” katanya.

Menurut Pusat Penyelidikan Sungai dan Delta Bangladesh, terdapat 1,274 sungai di Bangladesh pada 1971, ketika negara itu mencapai kemerdekaan tetapi sekitar 507 sungai telah hilang sejak itu.

Beliau mencadangkan agar ilmu pengetahuan orang asli dapat diterapkan untuk memulihkan alam sekitar dan mengukuhkan daya tahan iklim.

“Penghijrahan dan perpindahan boleh memberi kesan mendalam dan berpanjangan terhadap kesihatan dan kesejahteraan fizikal dan mental, perbezaan budaya dan bahasa, masalah kewangan, stigma dan diskriminasi boleh menghalang akses kepada perkhidmatan kesihatan untuk pelarian dan pendatang,” Pengarah WHO- Jeneral Tedros Adhanom Ghebreyesus dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu. – Bernama, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen