Pelajar antarabangsa sumbang AS$5.2 bilion setahun kepada ekonomi Perancis


PELAJAR antarabangsa menyumbang kira-kira €5 bilion (AS$5.2 bilion) setahun kepada ekonomi Perancis, menurut satu tinjauan yang dikeluarkan pada Isnin.

Kira-kira 9,992 pelajar antarabangsa yang tinggal di Perancis dalam tempoh tiga tahun lalu mengambil bahagian dalam tinjauan yang dikendalikan agensi Campus France.

Tinjauan itu mengenal pasti lima sumber pembiayaan utama untuk pelajar, dengan sokongan keluarga teratas dalam senarai.

Simpanan peribadi merupakan sumber pendapatan kedua, diikuti dengan bantuan daripada Caisse d’Allocations Familiales (bantuan negara Perancis untuk keluarga) dan bekerja sambil belajar.

Sementara itu, kira-kira 18% responden memaklumkan bahawa pengajian mereka dibiayai oleh biasiswa dari negara asal mereka, atau oleh kerajaan Perancis.

Menurut tinjauan itu, pelajar antarabangsa membelanjakan purata €867 sebulan dan membayar yuran pengajian secara purata €2,822.

“Dengan menolak semua perbelanjaan daripada pendapatan, sumbangan bersih sebanyak €1.35 bilion dicatatkan. Ini adalah kesan ekonomi langsung pelajar antarabangsa di Perancis,” menurut Campus France.

Bilangan pelajar asing yang mendaftar di institusi Perancis meningkat sebanyak lapan peratus pada 2021-22, pertumbuhan paling kukuh dicatatkan selama 15 tahun. – Bernama, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen