Negara dunia gesa mahkamah antirasuah antarabangsa ditubuhkan


BELANDA, Kanada dan Ecuador menyokong desakan mewujudkan mahkamah antirasuah antarabangsa kerana percaya ia dapat membantu menghukum golongan kleptokrat yang mengetuai kerajaan.

Menteri luar ketiga-tiga negara itu menyokong kempen penubuhan tribunal antirasuah, yang akan beroperasi hampir sama seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berpusat di The Hague.

“Belanda, Kanada dan Ecuador berkongsi visi cadangan ini akan membawa kepada pembentukan Mahkamah Antirasuah Antarabangsa.

“Mahkamah seumpamanya akan menjadi pentas tambahan kepada masyarakat antarabangsa untuk menguatkuasakan undang-undang antirasuah sedia ada,” kata Menteri Luar Belanda Wopke Hoekstra di Twitter.

Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan jumlah ketirisan dalam perolehan akibat rasuah di seluruh dunia mencecah kira-kira AS$2 trilion (RM9 trilion) setiap tahun.

Hakim Kanan Amerika Syarikat (AS) Mark Wolf yang mengetuai kempen itu berkata tribunal berkenaan akan memberi tumpuan terhadap pegawai kerajaan pada peringkat tertinggi dan individu yang menerima rasuah daripada mereka.

“Budaya menamatkan rasuah bermula pada peringkat tertinggi dan bergerak ke bawah,” katanya dalam satu panel perbincangan.

Ketika ini, 189 anggota termasuk 181 negara sudah menandatangani Konvensyen Menentang Rasuah PBB yang bertujuan menghentikan amalan rasuah di seluruh dunia.

“Tetapi, kleptokrat masih bebas daripada hukuman kerana mereka mengawal urusan perundangan di negara mereka.

“Mahkamah ini boleh menjadi platform untuk mengatasinya, contohnya untuk pemberi maklumat yang berani mengemukakan bukti, jika mereka tidak boleh berbuat demikian di negara mereka sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui usaha itu akan menghadapi cabaran, sama seperti ketika penubuhan ICC pada 2002 untuk menghukum penjenayah perang.

The Hague kini menjadi tuan rumah kepada beberapa tribunal global seperti ICC dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menguruskan pertikaian membabitkan negara anggota PBB. – AFP, 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen