PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penyakit cacar monyet atau nama Inggerisnya, “monkeypox” ditukar kepada “mpox” selepas nama sebelum ini dianggap bersifat perkauman dan menjadi stigma kepada golongan tertentu.
WHO dalam satu kenyataan mengumumkan kedua-dua nama penyakit itu akan digunakan secara serentak selama setahun sementara perkataan monkeypox dihapuskan secara beransur.
Agensi kesihatan global itu melancarkan proses rundingan bagi mendapatkan nama baharu sejak awal tahun ini dan menerima lebih 200 cadangan, dengan Amerika Syarikat (AS) antara negara yang menyokong dan mengalu-alukan pertukaran itu.
“Kita mesti lakukan apa yang perlu demi kepentingan kesihatan awam dan mengurangkan stigma dikaitkan dengan penyakit adalah langkah kritikal bagi menamatkan ancaman wabak mpox,” kata Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Awam AS Xavier Becerra.
Antara cadangan popular ialah mpox atau Mpox, disyorkan pertubuhan kesihatan lelaki, RÉZO, yang menurut pengarahnya, membuang perkataan monyet mendorong orang ramai memandang serius ancaman berkenaan.
WHO berkata pakar global bersetuju dengan mpox selepas mempertimbangkan kesesuaian saintifik, kadar penggunaan dan kemudahan mengeja sebagai antara faktor utama sebelum membuat keputusan.
Mpox pada mulanya dipanggil cacar monyet kerana virus itu pada asalnya dikenal pasti pada monyet yang disimpan untuk penyelidikan di Denmark pada 1958, tetapi ia turut ditemui pada beberapa haiwan, paling kerap tikus.
Penyakit ini pertama kali ditemui pada manusia pada 1970 di Republik Demokratik Congo, dengan penyebaran dalam kalangan manusia sejak itu terhad kepada negara Afrika Barat dan Tengah tertentu di mana ia adalah endemik.
Namun, pada Mei lalu, kes penyakit yang menyebabkan demam, sakit otot dan lepuhan kulit yang besar seperti bisul itu mula merebak dengan cepat ke seluruh dunia, terutama dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Kira-kira 81,107 kes dan 55 kematian dilaporkan kepada WHO tahun ini, dari 110 negara. – AFP, 29 November, 2022.
Komen