KOREA Selatan mengekstradisi seorang wanita ke New Zealand untuk berdepan dakwaan kes bunuh berhubung kematian dua kanak-kanak di mana sisa mayatnya ditemui di dalam beg pakaian, kata kementerian kehakiman Seoul.
Suspek berusia 42 tahun itu – warganegara New Zealand berketurunan Korea – dan bukti penting diserahkan kepada pihak berkuasa New Zealand malam tadi, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Kami berharap kebenaran kes ini yang mendapat perhatian seluruh dunia, akan terbongkar menerusi proses kehakiman yang adil di New Zealand,” katanya.
Polis Korea Selatan menawan wanita terbabit di Ulsan pada Selptember, beberapa minggu selepas pihak berkuasa New Zealand menemui sisa mayat dua kanak-kanak, dipercayai berumur antara lima dan 10 tahun ketika mati.
Gambar di media tempatan menunjukkan wanita itu, dikenali hanya sebagai Lee, dibawa ke balai polis Ulsan, dengan kepalanya ditutup dengan kot berwarna coklat.
Mayat mangsa ditemui selepas satu keluarga membeli barangan terpakai – termasuk beg pakaian berkenaan pada satu jualan lelong barangan tidak dituntut.
Polis New Zealand berkata mayat itu dipercayai disimpan dalam stor selama beberapa tahun, dan ia menyukarkan siasatan.
Pihak berkuasa berkali-kali menekankan keluarga yang menemui mayat berkenaan tidak ada kaitan dengan kes bunuh itu dan diberikan sokongan rawatan trauma. – AFP, 29 November, 2022.
Komen