PEMAIN tengah Brazil, Bruno Guimaraes mengakui pasukan itu tidak bersemangat seperti biasa selepas memerlukan jaringan lewat permainan Casemiro untuk menewaskan Switzerland dan mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik, awal pagi tadi.
Juara Piala Dunia lima kali itu sedar kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan G itu akan menjamin tempat mereka ke pusingan kalah mati dengan berbaki satu perlawanan.
Bagaimanapun, pada awalnya mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri sehinggalah pemain Manchester United, Casemiro menjaringkan gol pada minit ke-83 bagi membolehkan Brazil melakar kemenangan 1-0.
“Ia perlawanan yang sukar dan keputusan seri 0-0 pastinya menguntungkan mereka (Switzerland) tetapi apa yang lebih penting adalah kami mara ke pusingan seterusnya,” kata pemain tengah Newcastle United, Guimaraes yang masuk sebagai pemain gantian di babak kedua pada aksi di Stadium 974.
Beliau menggantikan Fred yang berada dalam kesebelasan utama susulan ketiadaan Neymar yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan buku lali yang dialaminya ketika Brazil menewaskan Serbia 2-0 dalam aksi pembukaan.
“Neymar adalah pemain utama, bintang sebenar. Pasukan mana yang tidak akan merasai ketiadaannya?,” soal Guimaraes.
Walaupun tanpa kehadiran Neymar, Casemiro percaya Brazil adalah pasukan yang lebih lengkap ketika ini berbanding empat tahun lalu yang menyaksikan mereka tersingkir di peringkat suku akhir di Russia. – AFP, 29 November, 2022.
Komen