PM batal tempahan Mercedes dibuat kerajaan terdahulu


Ravin Palanisamy

PM Anwar Ibrahim memutuskan untuk menggunakan kenderaan sedia ada dan menolak sebuah Mercedes S600. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2022.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau membatalkan tempahan Mercedes S600 baharu yang dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mengesahkan tempahan itu dibuat oleh seorang perdana menteri sebelum ini tetapi tidak menamakan siapa.

“Mercedes belum tiba. Kami hanya menggunakan apa sahaja kereta yang ada.

“Sebenarnya ini (Mercedes) ditempah oleh perdana menteri sebelum ini. Jadi, saya semak sama ada saya boleh membatalkannya dan berjaya melakukannya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan pembelian Mercedes S600 itu dicadangkan oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin, sebelum ia diluluskan oleh kerajaan Ismail Sabri Yaakob.

Kereta yang ditawarkan kepada Anwar untuk kegunaan hariannya dianggarkan berharga lebih RM1 juta, bergantung kepada spesifikasinya.

Semalam, pengerusi PH itu berkata beliau memutuskan untuk menggunakan kenderaan sedia ada dan menolak sebuah Mercedes S600.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata keputusan itu dibuat kerana tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu ditanggung.

Anwar, 75, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur pada Khamis, sebelum ini mengumumkan akan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dalam pentadbirannya. – 28 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen