Saya kalah kerana pengundi Batu ikut parti, kata Tian Chua


Noel Achariam

Tian Chua berkata rakyat mengundi PH kerana pada pandangan mereka gabungan itu lebih inklusif dan akomodatif kepada masyarakat majmuk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 November, 2022.

BEKAS ahli Parlimen Batu Tian Chua mengaitkan kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disebabkan pengundi membuang undi berdasarkanparti.

Bekas naib presiden PKR yang bertanding sebagai calon bebas itu berkata orang ramai kali ini hanya mahu menyingkirkan rejim lama (kerajaan), lalu mereka mengundi parti (Pakatan Harapan).

“Pada asasnya, pada PRU15 rakyat hanya mahu memilih alternatif kepada Barisan Nasional (BN) dan menolak Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri dan kerajaannya.

“Jadi, kita lihat kebanyakan bukan Melayu menyokong PH kerana mahu mereka dalam kerajaan.

“Mereka memutuskan untuk mengundi berdasarkan parti dan saya menerimanya (kalah),” kata bekas ahli Parlimen Batu dua penggal itu kepada The Malaysian Insight.

Dalam pertandingan 10 penjuru untuk kerusi Batu, calon PH daripada PKR P Prabakaran menang dengan majoriti 22,241 undi, jauh mengatasi pesaingnya Tian Chua yang hanya mendapat 4,603 undi.

Pada 2018, Prabakaran memenangi kerusi itu sebagai calon bebas dengan sokongan Tian Chua dan PKR, dan kemudian menyertai parti itu.

Namun, seiring dengan masa hubungan mereka semakin keruh. Dalam pemilihan parti baru-baru ini, Prabakaran menewaskan Tian Chua untuk menjadi ketua Bahagian PKR Batu.

Tian Chua berkata rakyat mengundi PH kerana pada pandangan mereka gabungan itu lebih inklusif dan akomodatif kepada masyarakat majmuk

“Situasi sekarang berbeza (PRU15) kerana rakyat mahu melihat PH kembali dalam kerajaan.

“Sesiapa yang mahu menjadi ahli Parlimen mesti mendapat mandat daripada rakyat. Jadi, calon PH (Prabakaran) mendapat mandat kerana orang mahu melihat kerajaan PH.

“Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan proses meletakkan orang (bertanding) semata-mata untuk menjadi kerajaan.”

Beliau juga menambah ia adalah “tsunami” terhadap kerajaan Ismail Sabri.

“Orang bukan Melayu mahukan PH dan orang Melayu mahukan kerajaan yang masih menjaga kepentingan mereka tetapi lebih bersih (Perikatan Nasional).”

Dalam pertandingan 10 penjuru untuk kerusi Batu, calon PH daripada PKR P Prabakaran menang dengan majoriti 22,241 undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

Masih ahli PKR

Tian Chua berkata secara teori beliau masih ahli PKR kerana tidak menerima sebarang surat yang memaklumkan beliau dipecat.

“Saya rasa tidak perlu bagi PKR untuk meneruskan laluan ini (memecat beliau). Cuba mengambil tindakan terhadap seseorang yang mempunyai suara menentang.

“Jika parti memutuskan untuk mengambil tindakan, maka saya bertanggungjawab atas tindakan saya dan bersedia untuk menerimanya.

“Saya hanya mendapat surat tunjuk sebab, jadi saya serahkan kepada pimpinan untuk membuat keputusan.”

Beliau juga berkata isu mengkhianati parti tidak pernah wujud kerana beliau sentiasa berpegang pada prinsip PKR.

“Jadi, jika mereka kata saya menentang parti, secara teknikalnya sekarang, mereka yang menentang parti kini berada dalam kerajaan.

“Terdapat semua orang yang menentang PKR dalam pilihan raya lalu dan kini menyertai kerajaan.”

Presiden PKR Anwar Ibrahim Anwar memecat Tian Chua daripada parti pada hari penamaan calon, kerana bertanding sebagai penyandang bebas dan mencabar Prabakaran.

Tian Chua berkata pada masa ini beliau tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Saya adalah ahli pengasas PKR, jadi idealisme dan prinsip parti itu sangat dalam diri saya.

“Jadi, sama ada saya ahli PKR atau tidak, saya berpegang teguh kepada prinsip itu. Perkara utama ialah setia kepada prinsip penubuhan parti yang komited kepada berbilang kaum, masyarakat yang adil dan saksama serta prinsip lain.”

Tian Chua juga berkata setiap orang harus mula mengusahakan reformasi sama ada mereka menyokong gerakan reformasi atau tidak.

“Ini dicerminkan sekarang dalam gabungan besar di mana mereka adalah bekas parti pemerintah atau antagonis terhadap reformis.

“Mereka kini perlu memainkan peranan dalam reformasi. Setiap bahagian kerajaan harus memulakan reformasi.

Perubahan mesti berlaku untuk ekonomi, bidang intelektual dalam struktur kerajaan, undang-undang dan banyak perkara lain. – 29 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen