Arab Saudi akan buka ruang udara untuk penerbangan India-Israel, kata Netanyahu 


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan Arab Saudi memberi kebenaran untuk ruang udaranya digunakan bagi penerbangan Israel-India.– Gambar EPA, 6 Mac, 2018.

PERDANA Menteri Benjamin Netanyahu berkata Arab Saudi bersetuju untuk membenarkan Air India menggunakan ruang udaranya dalam penerbangan dari dan ke Israel. 

Namun Air India pada Selasa berkata, walaupun pihaknya sudah membuat permintaan, namun ia masih belum memberikan jawapan positif.

Laluan penerbangan baharu Israel-India diumumkan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi ketika lawatan ke Israel pada Julai.

Dalam lawatan timbal baliknya pada Januari ke India, Netanyahu mencadangkan penerbangan itu melalui Aran Saudi, yang mana ia akan memendekkan waktu penerbangan yang turut menunjukkan keakraban hubungan antara dua negara terbabit.

Arab Saudi dan Israel tiada ikatan rasmi hubungan diplomatik, seperti kebanyakan negara Arab yang lain. Riyadh masih membisu berhubung Israel yang membayangkan hubungan akrab dengan negara itu.

Bercakap kepada pemberita yang turut bersamanya ke Washington pada Isnin, Netanyahu berkata Air India sudah mencapai persetujuan dengan Arab Saudi untuk menggunakan ruang udara mereka.

Syarikat penerbangan nasional Israel EI AI kini mengendalikan penerbangan ke India yang mengambil laluan lain ke Laut Merah bagi mengelakkan memasuki ruang udara Arab Saudi dan Iran.

Sementara itu, Air India berkata pihaknya masih menunggu jawapan mengenai permintaan itu.

“Kami sudah memohon kebenaran laluan udara dengan ketua pengarah jabatan penerbangan awam,” kata jurucakapnya kepada AFP.

“Terpulang kepada mereka untuk menentukan permintaan kami, tetapi kami masih belum menerima sebarang komunikasi berhubung perkara itu daripada pihak terbabit.”

Air India masih belum menyatakan bila ia akan memulakan penerbangan ke Tel Aviv, dengan media membuat spekulasi mereka akan memulakan penerbangan pada Mac.

Jurucakap pihak berkuasa Lapangan Terbang Israel mengesahkan Air India telah menerima kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Ben Gurion, namun tidak menjelaskan butiran lanjut. – AFP, 6 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen