Iraq dapat semula AS$2.5 bilion wang digelapkan


PM Iraq Mohammed Shia al-Sudani berikrar akan memastikan semua pihak yang terlibat dalam skandal dana awam dibawa ke muka pengadilan. – Gambar Youtube, 28 November, 2022.

IRAQ berjaya memperoleh semula sebahagian daripada AS$2.5 bilion dana awam yang digelapkan daripada akaun kerajaan, kata perdana menteri pada Ahad, menyeru pihak yang bersalah menyerah diri dan memulangkan baki yang lain.

Mohammed Shia al-Sudani berkata seorang ahli perniagaan kaya yang terlibat dalam kecurian daripada pihak berkuasa cukai mengembalikan AS$125 juta daripada lebih AS$1 bilion yang beliau mengaku menerimanya.

Ahli perniagaan Nour Zuhair Jassem akan tertakluk kepada pembekuan aset dan dibebaskan dengan syarat mendapatkan semula baki dana dalam tempoh dua minggu, tambah Sudani.

Skandal itu mencetuskan kemarahan meluas di Iraq, sebuah negara kaya dengan hasil minyak yang dilanda rasuah.

Menurut dokumen daripada pihak berkuasa cukai negara itu, jumlah besar itu didakwa dirampas antara September 2021 hingga Ogos tahun ini melalui 247 cek yang ditunaikan oleh lima perusahaan.

Wang itu kemudiannya dikeluarkan daripada akaun syarikat, menurut dokumen itu.

Pemilik akaun tersebut—yang kebanyakannya menjadi buruan—tertakluk kepada waran tangkap.

“Pihak berkuasa yang berwibawa berjaya mendapatkan bahagian pertama berjumlah 182.6 bilion dinar Iraq,” menyamai lebih AS$125 juta, kata Sudani.

Kenyataan beliau itu dibuat secara langsung dengan timbunan wang kertas yang disusun dalam bungkusan.

Jassem ditangkap hujung bulan lalu di lapangan terbang Baghdad ketika cuba meninggalkan negara itu menaiki jet peribadi, kata pihak berkuasa.

Perdana menteri berkata badan kehakiman mencapai persetujuan dengan tertuduh yang akan memulangkan semua wang itu.

Seorang lagi suspek, yang ditangkap di wilayah autonomi Kurdistan Iraq, sedang melalui prosiding untuk memindahkannya ke Baghdad.

“Kami menyeru semua suspek yang tertakluk kepada waran tangkap dalam kes ini agar menyerahkan diri dan dana yang dicuri,” kata perdana menteri.

“Menangkap pencuri dan pihak yang membantu mereka adalah sangat penting,” tambah Sudani.

Pegawai cukai dan badan awam terlibat dalam skandal itu, katanya sambil menambah identiti mereka akan didedahkan pada akhir siasatan.

“Kami tidak akan melepaskan sesiapa pun,” ikrar Sudani. – AFP, 28 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen