Lebih 1,880 penerbangan di AS ditunda semalam


Jumlah pengembara penerbangan di AS pada Jumaat seramai 1,980,837 juga melepasi angka yang dicatatkan pada 2019. – Gambar fail EPA, 28 November, 2022.

LEBIH 1,800 penerbangan di Amerika Syarikat (AS) terpaksa ditunda semalam berikutan cuaca buruk.

Data FlightAware menunjukkan sehingga petang Ahad sebanyak 1,886 penerbangan ditunda manakala 55 lagi dibatalkan membabitkan penerbang keluar dan masuk, menurut United Press International (UPI).

Ahad selepas perayaan Thanksgiving menjadi satu daripada hari paling sibuk dalam setahun.

Terdapat 2,268,189 pengembara mendaftar masuk ke pusat pemeriksaan Pentadbiran Pengangkutan dan Keselamatan pada Sabtu, lebih ramai berbanding 2019 dan sebelum pandemik Covid-19.

Jumlah pengembara pada Jumaat seramai  1,980,837 juga melepasi angka yang dicatatkan pada 2019.

Sistem cuaca meramalkan ribut sedang bergerak dari wilayah Sungai Mississippi ke timur laut hingga Ahad, mencetuskan hujan lebat dan angin kencang.

“Rancang perjalanan lebih awal dan tiba lebih awal jika anda melancong semasa tempoh percutian #Thanksgiving,” kata pegawai Lapangan Terbang LaGuardia di New York City menerusi Twitter.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan dijangkakan terdapat 46,790 penerbangan semalam. – Bernama, 28 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen