TENTERA Iraq semakin memasuki kawasan terakhir Mosul yang masih ditakluk kumpulan Negara Islam (IS) tetapi jumlah orang awam yang tinggi memperlahankan pergerakan mereka, kata jurucakap tentera Isnin lepas.
Lebih daripada tujuh bulan selepas operasi besar-besaran untuk mengambil alih bandar kedua terbesar di Iraq itu, pasukan keselamatan berjaya menakluk kembali kebanyakkan kawasan di Mosul daripada IS, tetapi hampir 200,000 orang awam masih terperangkap dalam kawasan yang masih ditakluk pengganas IS.
“Kehadiran orang awam memperlahankan pergerakan kami,” kata Brigaider Jeneral Yahya Rasool, jurucakap tentera Iraq kepada AFP.
“Kami menerima ratusan keluarga melalui laluan selamat (yang dilindungi tentera Iraq),” katanya.
Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan hampir 200,000 orang awam masih berada dalam kawasan taklukan IS di Mosul, kebanyakkan mereka berada di Old City, tempat pertempuran sedang berlaku.
Kawasan itu- dengan jalan sempit dan bangunan yang dibina rapat- memberikan cabaran utama kepada pasukan keselamatan, dan pertempuran yang berlaku boleh membahayakan nyawa orang awam.
Lebih daripada 750,000 orang meninggalkan kediaman mereka selepas operasi Mosul bermula menurut PBB, dan angka itu dijangka akan terus meningkat memandangkan fasa terakhir operasi itu untuk menakluk bandar semakin dekat.
Hanya 150,000 orang awam sudah kembali ke kediaman masing-masing. – AFP, 1 Jun, 2017.
Komen