ITALI mengisytiharkan darurat di pulau selatan Ischia pada hari Ahad selepas tanah runtuh mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan menyebabkan beberapa yang lain hilang.
Gelombang lumpur dan tanah merempuh bandar kecil Casamicciola Terme pada pagi Sabtu, menenggelamkan sekurang-kurangnya sebuah rumah dan menghanyutkan kereta ke laut, kata media tempatan dan perkhidmatan kecemasan.
“Jumlah kematian mangsa tanah runtuh di Casamicciola meningkat kepada tujuh orang, manakala lima lagi hilang,” kata pengawas bandar Naples Claudio Palomba.
Sebanyak dua juta euro dana bantuan dikeluarkan pada akhir mesyuarat kabinet tergempar, yang mengisytiharkan darurat, kata Menteri Pertahanan Awam Nello Musumeci.
Media Itali sebelum ini melaporkan empat mayat telah ditemui pada petang Ahad.
Lebih 200 penyelamat masih mencari orang yang hilang, manakala ratusan sukarelawan, sibuk membersihkan jalan-jalan di bandar itu yang ditenggelami lumpur ke paras lutut.
Bagaimanapun usaha menyelamat terhalang oleh hujan dan angin kencang, yang turut menangguhkan perjalanan feri yang membawa bantuan dari tanah besar.
“Situasi ini sangat menyakitkan kami. Di sini ia adalah sebuah pulau dan walaupun kami tidak benar-benar mengenali semua orang,” kata Salvatore Lorini, 45, kepada AFP.
“Gunung itu runtuh, berlaku kemusnahan kedai, kereta, hotel dan ia pernah berlaku sembilan tahun lalu. Sekarang saya sedang membersihkan kedai ibu mertua saya,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Matteo Piantedosi sebelum ini memberi amaran ada orang yang terperangkap dalam lumpur, berkata ia adalah situasi yang “sangat serius”. – AFP, 28 November, 2022.
Komen