Kerajaan Anwar bukan kerajaan perpaduan, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Beberapa penganalisis berpendapat kerajaan yang dibentuk Anwar Ibrahim bukannya kerajaan perpaduan sebaliknya kerajaan campuran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2022.

KERAJAAN yang diketuai perdana menteri yang baru dilantik Anwar Ibrahim adalah kerajaan campuran dan bukannya kerajaan perpaduan seperti yang diperkatakan ramai, menurut pakar.

Banyak pihak melabelkan kerajaan Anwar yang dibentuk Khamis lalu selepas perebutan kuasa antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan perpaduan.

Ia selepas Yang di-Pertuan Agong meminta Anwar dan pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk bersatu dan membentuk satu kerajaan susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu lalu.

Pakar sains politik Prof Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, kerajaan perpaduan dalam erti kata sebenar bermaksud kerajaan campuran gergasi yang termasuk pesaing utama.

“Ini adalah kerajaan campuran, bukannya kerajaan campuran gergasi, apa yang biasa diperkatakan sebagai kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perpaduan patut disertai pesaing utama merujuk kepada contoh situasi politik di Jerman.

“Dengan PN tidak menyertainya, ini tidak boleh dipanggil kerajaan campuran gergasi,” katanya.

Di Jerman, dua parti konservatif - Kesatuan Demokratik Kristian dan Kesatuan Sosial Kristian - bersetuju membentuk kerjasama dengan parti berhaluan kiri - Parti Demokratik Sosial.

Muhyiddin Yassin enggan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan perpaduan kerana ia bertentangan dengan dasar mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2022.

“Anwar mungkin masih menggelarnya sebagai kerajaan perpaduan seperti juga Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, tetapi ini hanyalah label seperti ‘Keluarga Malaysia’ dan tidak boleh disalah anggap sebagai jenis tertentu (kerajaan campuran gergasi) dalam erti kata perbandingan,” jelas Wong.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di depan Agong pada Khamis lalu sekali gus menamatkan kemelut selepas PRU15 gagal menyaksikan pemenang yang dominan.

Sehari sebelumnya, baginda bertemu Anwar dan Muhyiddin untuk membincangkan kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan. Muhyiddin bagaimanapun menolak cadangan itu kerana PN memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PH.

Pemimpin PH diketuai Anwar sebelum itu bertemu dengan pemimpin BN dalam usaha meraih sokongan ahli Parlimen gabungan itu.

Anwar juga mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang pada awalnya lebih menyokong PN berbanding PH selepas meraih perjanjian untuk bekerjasama dengan BN.

Badrul Hisyam Ismail dari Iman Research turut bersetuju dengan pendapat Wong.

Badrul berkata, keputusan Muhyiddin tidak menyertai kerajaan Anwar satu langkah tepat kerana negara memerlukan pembangkang yang berfungsi.

“Bagi saya ia adalah kerajaan campuran dan bukannya kerajaan perpaduan. Sekurang-kurangnya kita ada pembangkang untuk menjaga semak dan imbang.

“Kerajaan Anwar adalah gabungan PH, BN dan GPS dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga menyertainya. Di atas kertas, kerajaan Anwar kelihatan seolah-olah satu kerajaan perpaduan tetapi hakikatnya tidak, ia adalah kerajaan campuran.”

Pada Ahad, seorang pembantu kanan Muhyiddin mendedahkan Agong menawarkan PN untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama PH - dua pemenang utama PRU15 pada 19 November lalu - termasuk menggilirkan jawatan perdana menteri.

Muhyiddin menolak tawaran itu kerana ia bertentangan dengan dasar gabungan itu, kata setiausaha sulit bekas perdana menteri itu Marzuki Mohamad.

Dalam catatan Facebook bagi menceritakan kisah belakang tabir dalam pembentukan kerajaan baharu, beliau berkata Muhyiddin memberitahu istana sebarang kerjasama dengan PH pimpinan Anwar juga bertentangan dengan mandat pengundi yang diberikan kepada PN.

Marzuki berkata, presiden PAS Abdul Hadi Awang bersetuju dengan pendirian Muhyiddin.

Pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 menamatkan kemelut pembentukan kerajaan susulan tiada gabungan yang meraih majoriti pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2022.

Tidak, ia kerajaan perpaduan

Sementara itu, Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia tidak bersetuju dengan penganalisis lain, mengatakan kerajaan Anwar adalah kerajaan perpaduan.

Beliau berhujah Agong berhasrat untuk melihat pembentukan kerajaan perpaduan dan Anwar menerima permintaan itu menerusi kerjasama dengan BN, GPS dan GRS.

“Adalah menjadi hasrat Agong sebagai ketua negara, Agong menggunakan budi bicaranya sendiri meminta Anwar dan Muhyiddin membentuk kerajaan perpaduan.

“Akhirnya, Anwar menerima tawaran itu tetapi Muhyiddin tidak. Ia memang kerajaan perpaduan kerana BN bukan sebahagian daripada PH. BN, GRS dan GPS bersetuju mengetepikan perbezaan demi menamatkan kebuntuan politik dan memastikan negara dapat ditadbir,” katanya. – 28 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen