Pengurus bank Iran dipecat kerana beri layanan wanita tidak bertudung


Wanita di negara yang mempunyai lebih 80 juta penduduk itu diwajibkan menutup kepala, leher dan rambut mereka. Undang-undang ini dikuatkuasakan oleh polis moral Iran. – Gambar EPA, 27 November, 2022.

PENGURUS bank di Iran yang memberi layanan terhadap seorang wanita tidak bertudung dipecat, lapor media tempatan hari ini.

Kejadian berlaku ketika tunjuk perasaan mencetuskan rusuhan susulan peraturan wajib berhijab yang menggegarkan republik Islam itu.

Wanita di negara yang mempunyai lebih 80 juta penduduk itu diwajibkan menutup kepala, leher dan rambut mereka, undang-undang yang dikuatkuasakan oleh polis moral Iran.

Kematian Mahsa Amini, 22, ketika dalam tahanan polis moral kerana didakwa melanggar kod berhijab pada 16 September mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Agensi berita Mehr melaporkan pengurus bank di wilayah Qom, berhampiran ibu negara Tehran, ” menyediakan perkhidmatan bank pada Khamis kepada seorang wanita tidak bertudung”.

Akibatnya beliau “dipecat daripada jawatannya atas perintah gabenor,” Mehr memetik timbalan gabenor Ahmad Hajizadeh sebagai berkata.

Menurut agensi berita itu, video wanita tidak bertudung tersebut “menimbulkan banyak reaksi di media sosial”.

Di Iran kebanyakan bank dikawal kerajaan dan Hajizadeh berkata adalah menjadi tanggungjawab pengurus di institusi sedemikian untuk melaksanakan undang-undang hijab.

Berpuluh-puluh orang, terutamanya penunjuk perasaan termasuk anggota pasukan keselamatan, terbunuh ketika demonstrasi, yang menurut Iran cuba dicetuskan “musuhnya” dari Barat.

Hijab diwajibkan empat tahun selepas revolusi 1979 yang menggulingkan monarki disokong Amerika Syarikat dan menubuhkan Republik Islam.

Kemudian, dengan perubahan norma pakaian, ia menjadi perkara biasa untuk melihat wanita berseluar jeans ketat dan tudung longgar berwarna-warni.

Namun pada Julai tahun ini, Presiden ultra konservatif Ebrahim Raisi menggesa untuk menggerakkan “semua institusi negara dengan menguatkuasakan undang-undang bertudung”.

Bagaimanapun, ramai wanita terus melanggar peraturan itu. – AFP, 27 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen