Jangan letak mereka yang ada kes mahkamah di Kabinet, kata Nik Nazmi


Yang terbaik adalah jangan letak mereka yang ada kes mahkamah dalam Kabinet, kata Nik Nazmi Nik Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2022.

KABINET yang akan dibentuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menetapkan standard yang tinggi dengan tidak melibatkan wakil rakyat yang sedang berdepan kes di mahkamah, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata ia penting bagi mengelak timbulnya pertikaian integriti memandangkan kes mereka sedang dalam perbicaraan.

“Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam Kabinet supaya tidak timbul isu kelak selain rakyat sangat tekankan selepas Pilihan Raya Umum ke1- (PRU14_ pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian.

Antara wakil rakyat yang sedang dibicarakan termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

September lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan Zahid tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie dalam kes rasuah berkaitan Ultra Kirana Sdn Bhd, syarikat yang diberikan kontrak sistem visa pekerja asing ketika beliau menjadi menteri dalam negeri.

Bagaimanapun, Zahid masih mempunyai kes korupsi lain melibatkan 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan nilai jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Guan Eng pula sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima RM3.3 juta rasuah sebagai habuan membantu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) mendapatkan kontrak bernilai RM6,341,383,702.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Menteri, Tingkat 28, Komtar, George Town, antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Syed Saddiq pula didakwa atas tuduhan pecah amanah, salah guna aset dan pengubahan wang haram.

Beliau dituduh bersubahat dengan bendahari Pemuda Bersatu ketika itu, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahguna dana itu di Menara CIMB KL Sentra, Jalan Sentral 2, pada 6 Mac 2020.

Ketika kesalahan dilakukan, Syed Saddiq adalah ketua Pemuda Bersatu yang diamanahkan mengawal dana itu. – 27 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen