MUHYIDDIN Yassin berpegang pada proses pelantikan perdana menteri yang ditetapkan sendiri oleh Istana Negara dan tidak boleh dituduh derhaka atau sombong atas tindakan dan kenyataannya terkait perkara itu, kata pegawainya Marzuki Mohamad.
Dalam satu tulisan panjang di Facebook, bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin semasa jadi perdana menteri memperincikan apa yang berlaku daripada sebelum pilihan raya sampailah kepada pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 Khamis lepas.
“Saya tidak berniat untuk mengungkit apa yang telah berlaku. Bak kata orang, rumah sudah siap, pahat janganlah berbunyi. Biarlah rumah yang sudah siap itu didiami dengan aman oleh penghuninya.
“Namun, saya terbaca beberapa tulisan yang tersebar di media sosial yang saya dapati faktanya adalah tidak tepat,” tulisnya.
Menurut Marzuki, proses yang ditetapkan Istana Negara, iaitu pengesahan sokongan melalui surat akuan berkanun, dimaklumkan kepadanya oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.
Marzuki juga mendapatkan penjelasan daripada Azizan mengenai kedudukan sokongan daripada 10 wakil rakyat Barisan Nasional, yang memberikan sokongan tidak mengikut keputusan parti.
“Beliau menjelaskan kepada saya bahawa dalam pelantikan Perdana Menteri, Ahli Dewan Rakyat secara individu mempunyai hak di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kebenaran parti tidak diperlukan,” katanya.

Marzuki juga berkata beliau ditunjukkan laporan jawatankuasa pilihan khas semasa penggubalan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu.
“Maka, surat akuan yang ditandatangani oleh 10 Ahli Dewan Rakyat BN itu adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Marzuki, selepas pihaknya mengemukakan 114 surat akuan berkanun menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri mengikut had masa yang ditetapkan oleh Istana Negara, tempoh itu dilanjutkan untuk 24 jam lagi sehingga 2 petang.
Lanjutan masa itu dibuat selepas Anwar dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) bertemu dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli Dewan Rakyat BN di Hotel Seri Pacific.
Marzuki kemudian memperincikan siri perbincangan dan pertemuan yang berlaku selepas itu sehingga membawa kepada titah Agong supaya Muhyiddin mengadap di Istana Negara pada 4.15 petang, Rabu 24 November. Muhyiddin disertai Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Pada majlis itu Muhyiddin diberitahu beliau tiada majoriti dan 10 wakil rakyat BN sudah menarik balik sokongan mereka, dan 30 wakil rakyat BN menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
“Namun tiada surat akuan berkanun yang dikemukakan seperti yang ditetapkan oleh pihak Istana Negara,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong kemudian mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan antara Perikatan Nasional dan PH, yang ditolak oleh Muhyiddin.
“(Muhyiddin) menyembah maklum kepada YDPA bahawa kerjasama dengan PH adalah bertentangan dengan dasar PN dan mandat pengundi.
“Oleh itu, beliau tidak boleh bersetuju dengan cadangan tersebut. Pendirian ini turut dipersetujui oleh Abdul Hadi,” kata Marzuki.

Sebelum beredar dari Istana Negara, Muhyiddin diminta menandatangani perjanjian kerajaan perpaduan, yang antara kandungannya ialah “penggiliran jawatan perdana menteri”.
“Beliau menurunkan tandatangan dan menyatakan tidak bersetuju,” kata Marzuki.
Menurut Marzuki, apa yang dikongsinya adalah catatan peristiwa daripada pengalaman terlibat secara langsung di pihak PN dalam proses pelantikan perdana menteri ke-10.
“Mudah-mudahan pahat tidak lagi berbunyi. Mudah-mudahan tuduhan-tuduhan yang mengatakan Tan Sri Muhyiddin derhaka, sombong dan tidak mahu berunding tidak kedengaran lagi,” katanya.
Beliau juga berharap Anwar akan menjalankan tugas memikul amanah dengan penuh berintegriti dan bertanggungjawab.
Anwar mengangkat sumpah perdana menteri pada Khamis setelah empat hari buntu selepas tiada mana-mana gabungan mempunyai cukup majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sendiri. – 27 November, 2022.
Komen