IBU negara Korea Selatan melancarkan bas pandu sendiri pertamanya pada Jumaat, sebahagian daripada percubaan yang dikatakan jurutera bertujuan untuk membuatkan orang ramai berasa lebih selesa dengan kenderaan tanpa pemandu di jalan raya.
Kenderaan baharu itu tidak kelihatan seperti bas biasa dan mempunyai bucu bulat serta tingkap besar yang menjadikannya kelihatan lebih seperti mainan berbanding kenderaan berteknologi tinggi.
Reka bentuk itu memang disengajakan, kata Jeong Seong-gyun, ketua pemanduan autonomi di 42 Dot, syarikat yang bertanggungjawab bagi teknologi pandu sendiri yang kini dimiliki oleh gergasi kereta Hyundai.
“Ini adalah masa depan,” katanya kepada AFP, sambil menambah bas itu memerlukan “jenis reka bentuk baharu yang agak besar”.
Bas itu kelihatan sedikit “seperti Lego” dan diperbuat daripada bahagian komposit untuk membantu mengurangkan kos dan menjadikannya mudah untuk direplikasi, katanya.
Ia menggunakan kamera dan radar untuk menavigasi jalan dan bukannya sensor mahal, tambah Seong-gyun.
Matlamat syarikat adalah untuk menjadikan teknologi kos rendah, selamat dan mudah dipindahkan kepada pelbagai jenis kenderaan pada masa hadapan, contohnya, trak penghantaran.
Buat masa ini—dengan pemandu keselamatan memantau dengan teliti—bas itu akan bergerak sendiri di sekitar litar kecil sepanjang 3.4 kilometer di pusat bandar Seoul yang mengambil masa kira-kira 20 minit.
Orang ramai boleh menaiki dua perhentian yang ditetapkan selepas menempah tempat duduk percuma melalui aplikasi.
“Saya rasa seperti baru melompat ke mesin masa untuk melawat masa depan,” kata Kim Yi hae-ran, 68, selepas perjalanannya selama 20 minit semasa pelancaran bas itu pada Jumaat.
“Saya fikir ia mungkin membuatkan saya pening akibat pecutan secara tiba-tiba tetapi saya tidak merasakannya.”
Perjalanan itu terasa “sangat lancar dan selamat”, yang menurutnya membuatkan beliau berasa bangga dengan kemajuan teknologi yang dicapai oleh syarikat Korea Selatan itu. – AFP, 27 November, 2022.
Komen