Kaum Cina pegang janji Anwar bentuk kerajaan inklusif, berbilang kaum


Angie Tan

Kemenangan Pakatan Harapan dan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai PM10 dilihat kaum Cina sebagai peluang untuk negara membuang politik perkauman dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2022.

MASYARAKAT Cina meletakkan harapan yang tinggi kepada negara selepas Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri ke-10.

Mereka berharap kerajaan perpaduan pimpinan presiden PKR ini merangkumi semua kaum dan tidak meninggalkan retorik lapuk perkauman dan agama seperti kerajaan sebelum ini.

Pemimpin perniagaan dan masyarakat Cina berkata mereka sedang menunggu dengan penuh harapan senarai Jemaah Menteri pilihan Anwar nanti.

Mereka juga memerhati rapat ke arah mana Anwar akan bawa negara ini.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCCI) Kerk Loong Sing memberitahu The Malaysian Insight yang beliau berharap pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menunaikan janji pilihan rayanya.

Kerk berkata dengan penerimaan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Anwar mampu merapatkan jurang yang memisahkan penduduk di Semenanjung dengan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Dalam sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah, Anwar juga berkata beliau akan menerima Barisan Nasional (BN) untuk berada dalam kerajaan perpaduannya,” kata Kerk.

“Penting untuk jadi inklusif. Mendapatkan semua parti politik yang mempunyai pelbagai jenis ideologi, agama dan dari wilayah berbeza akan memberi manfaat besar kepada Anwar,” tambahnya.

Kerk berkata hanya kerajaan inklusif yang mampu bawa kestabilan politik ketika ini.

“Kestabilan politik membolehkan semua masyarakat hidup bersama secara harmoni.

“Apabila wujud keamanan dan keharmonian, ekonomi kita pasti akan berjaya dan membuka peluang juga kepada warga asing untuk melabur di Malaysia.”

Ini bukan masa untuk berbulan madu

Presiden Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Bersatu (Jiao Zong) Cheah Lek Aee dalam pada itu berkata jangkaan masyarakat Cina tepat kerana Anwar merupakan perdana menteri pertama yang datang daripada parti berbilang kaum.

“Hasrat kami adalah untuk dasar yang melayani setiap kumpulan etnik secara adil. Untuk kembalikan negara ke landasan yang betul, ia harus amalkan meritokrasi yang tidak berat sebelah kepada mana-mana kaum atau agama tertentu.”

Sebagai seorang ahli pendidikan, Cheah berkata beliau berharap kerajaan Anwar akan menggunakan “pendekatan terbuka, adil dan inklusif” terhadap pendidikan vernakular semua kumpulan etnik di negara ini.

Sistem pendidikan pelbagai aliran yang sedia ada harus diperkasakan dan diberi layanan yang sama rata, tambahnya.

Cheah berkata pilihan raya umum yang baru berakhir itu juga menunjukkan warna perkauman parti politik, dan ahli politik telah memainkan isu perkauman dan agama dengan “sengaja bagi membangkitkan pergeseran antara kaum”.

Itu, tambahnya, memburukkan lagi hubungan kaum dan agama yang sedia rapuh di negara ini.

“Ia menyemarakkan ekstremisme dan ianya membimbangkan.

“Jadi harapan saya ialah kerajaan perpaduan yang Anwar bentuk bersama PH, BN dan GPS dapat menangani pelampau kaum dan agama, membina konsensus dan mengukuhkan keazaman untuk sebuah negara berbilang kaum dan sekular,” katanya.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), Goh Tian Chuan percaya kerajaan baharu ini tidak perlu berbulan madu memandangkan negara kini dibelenggu dengan terlampau banyak masalah.

“Ia perlu stabilkan politik. Negara tidak dapat ditadbir dan dibangunkan dengan berkesan jika politik tak stabil.”

Goh berkata harapan terbesarnya ialah kerajaan baharu dapat berkhidmat sehingga tamat penggal.

“Ini bermakna kita akan ada kestabilan politik dalam tempoh lima tahun akan datang.”

Beliau berkata isu keutamaan lain yang perlu ditangani oleh kerajaan baharu ialah menggiatkan semula ekonomi, meningkatkan taraf hidup rakyat, mengawal inflasi, menghentikan kejatuhan nilai ringgit, mengurangkan kos sara hidup dan menghentikan brain drain. – 27 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen