PLATFORM penstriman rasmi Piala Dunia nampaknya disekat tanpa penjelasan di Arab Saudi, pelanggan memberitahu AFP hari ini.
Platform, Tod TV, dimiliki penyiar beIN Media Group Qatar, yang diharamkan di Arab Saudi selama beberapa tahun susulan pertelingkahan antara kedua-dua negara dipulihkan pada Oktober 2021.
“Disebabkan perkara di luar kawalan kami, kami mengalami gangguan di Arab Saudi, pada masa ini memberi kesan kepada TOD.tv, rakan kongsi penstriman rasmi Piala Dunia FIFA Qatar 2022. Maklumat tambahan akan diberikan sebaik sahaja ia tersedia,” kata beIN dalam mesej yang dihantar kepada rakan kongsi dan pelanggannya.
AFP cuba mendapatkan maklum balas daripada Kerajaan Arab Saudi mengenai gangguan tersebut namun ia tidak dijawab, manakala beIN pula enggan mengulas perkara itu.
Tod TV ialah perkhidmatan penstriman rasmi Piala Dunia di 24 negara di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Beberapa pelanggan di Arab Saudi memberitahu AFP mereka tidak dapat mengakses perkhidmatan itu sejak Piala Dunia bermula pada 20 November.
Seorang pelanggan berkata perkhidmatan itu terputus sepenuhnya kira-kira sejam sebelum penyiaran majlis perasmian.
Seorang lagi berkata perkhidmatan itu masih berfungsi secara ringkas tetapi tidak lebih daripada 10 minit sebelum mesej ralat muncul.
“Maaf, halaman yang diminta melanggar peraturan Kementerian Media,” menurut mesej ralat itu.
“Saya mahukan wang saya,” kata seorang pelanggan kepada AFP.
Katanya usaha untuk mendapatkan bayaran balik bagi perkhidmatan itu yang berharga kira-kira 300 riyal Arab Saudi (AS$80) sebulan, tidak berjaya. – AFP, 26 November, 2022.
Komen