Pembersihan etnik Rohingya terus berlaku di Myanmar, kata PBB


Tentera Myanmar melakukan rondaan di sepanjang sempadan berhampiran Bangladesh. Tentera Myanmar meneruskan kempen keganasan di Rakhine bagi memaksa etnik Rohingya meninggalkan kediaman mereka dan lari ke Bangladesh.– Gambar EPA, 6 Mac, 2018.

MYANMAR meneruskan “pembersihan etnik” membabitkan etnik minoriti Islam Rohingya berikutan “kempen keganasan dan paksaan kebuluran” di negeri Rakhine, kata wakil hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kempen keganasan itu terus tercetus enam bulan selepas operasi tentera yang mencetuskan pelarian besar-besaran etnik minoriti Islam itu ke Bangladesh. 

Lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri ke sempadan Bangladesh sejak keganasan tercetus pada Ogos tahun lalu.

Mereka turut menceritakan penderitaan mereka yang menjadi mangsa pembunuhan, rogol serta kediaman mereka dibakar oleh tentera Myanmar.

Sejak pelarian berkenaan meninggalkan Myanmar tahun lalu, ratusan etnik Rohingya terus menyeberangi sempadan ke Bangladesh setia minggu.

“Pembersihan etnik Rohingya dari Myanmar masih berterusan. Saya tidak pasti sama ada kita boleh membuat kesimpulan daripada apa yang saya lihat dan dengar di Cox’s Bazar, kata pembantu setiausaha agung hak asasi manusia PBB Andrew Gilmour.

“Keganasan itu semakin berubah daripada pertumpahan darah dan rogol tahun lalu kepada kempen keganasan dan paksaan kebuluran yang dilihat seolah-olah dicipta untuk memaksa etnik Rohingya yang ada untuk keluar daripada kediaman mereka dan lari ke Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan.– AFP, 6 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen