Genting kalah bida lesen kasino Macau


Kerajaan Macau telah meluluskan lesen konsesi sementara kepada enam pengendali gergasi kasino di pulau bekas tanah jajahan Portugis itu. Genting kalah dalam pembidaan tersebut. – Gambar EPA, 26 November, 2022.

MACAU pada Sabtu berkata ia telah memperbaharui lesen enam pengendali kasino utamanya, selain berharap ekonomi bandar itu dipelbagaikan dan tidak tertumpu kepada judi sahaja.

Bekas tanah jajahan Portugis itu satu-satunya wilayah di China di mana kasino dibenarkan, malah ia cuma meluluskan enam konsesi untuk industri berbilion dolar itu yang lebih besar daripada Las Vegas.

Enam pengendali semasa – termasuk anak syarikat gergasi Las Vegas MGM, Wynn dan Sands –  telah mengemukakan permohonan pembaharuan namun firma yang dikaitkan dengan Genting, gergasi perjudian dan pusat peranginan Malaysia, mencabar oligopoli jangka panjang dengan bidaan mengejut.

Namun percubaan itu gagal kerana pemimpin Macau Ho Iat-seng mengumumkan pemegang lesen sedia ada telah diberikan konsesi sementara.

“Pembangunan perniagaan bukan permainan adalah faktor paling penting” dalam keputusan kerajaan, kata menteri pentadbiran dan kehakiman Macau Andre Cheong.

Beliau tidak memberikan butiran lanjut tentang pemegang lesen yang perlu melabur dan di mana.

Kerajaan Macau berkata ia akan runding butiran dengan enam pengendali dan lesen baharu itu akan berkuat kuasa mulai awal tahun depan.

Macau sudah lama merancang untuk mempelbagaikan sektor selain perjudian.

Kasino di bandar itu dilanda sekatan ketika pandemik yang mengurangkan penjudi tanah besar China yang merupakan sebahagian besar pelanggan.

“Sumber pelancong kami terlalu tertumpu,” kata Cheong, menyifatkan keadaan itu sebagai “tidak sihat”.

Hasil perjudian kasar turun 98 peratus daripada tahap sebelum pandemik dan jatuh ke paras terendah pada Julai, umum para pegawai sebelum ini. – AFP, 26 November, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen