Masa untuk rombak Finas


INDUSTRI perfileman Malaysia memerlukan perubahan besar-besaran dipacu secara serius dari pelbagai aspek termasuk pembangunan industri, pemikiran, falsafah dan kepimpinan organisasi. 

Badan pembangunan industri perfileman Malaysia seperti Finas harus memanfaatkan perkembangan sekeliling untuk menjadi lebih baik.

Seharusnya badan seperti ini, mempunyai barisan kepimpinan yang memahami keperluan industri dan haru menempatkan individu-individu yang mempunyai kesungguhan serta idea untuk melaksanakan perubahan.

Badan pembangunan filem tidak seharusnya memberi tumpuan kepada aspek pemberian dana semata-mata, tetapi perlu mempunyai kesungguhan untuk memantapkan budaya sinema dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Literasi filem menjadi tanggungjawab badan perfileman Malaysia. Masyarakat yang celik filem akan memberikan nilai berkualiti kepada industri perfileman Malaysia.

Rantaian industri ini sedang mengalami tekanan dan tidak bergerak lancar, ia masih berpusat kepada soal untung rugi sahaja, tetapi tidak memanfaatkan peluang untuk membaiki ekosistem secara menyeluruh. 

Malaysia masih ketinggalan dari sudut penghasilan filem-filem berkualiti, penulisan tentang filem, restorasi dan pengarkiban, sinema komuniti, apresiasi filem dan penganjuran festival filem.

Sehubungan itu, pembaharuan dalam kepimpinan organisasi FINAS amat diperlukan pada waktu ini bagi memastikan industri filem Malaysia dapat bersaing secara setara dengan negara-negara perfileman di rantau ini.

Kita perlu bermula segera untuk memastikan industri perfileman Malaysia dipacu secara kreatif! – 26 November, 2022.

* Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen