Tidak ramai bukan bermakna Pejuang tidak betul, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mengundi partinya pada PRU15 lepas, menambah walaupun tidak ramai bukanlah bermaksud perjuangan parti tidak benar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2022.

PERJUANGAN untuk agama, bangsa dan tanah air tetap diteruskan walaupun rakyat umumnya tidak menyokong Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA), kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

“Yakinlah bahawa walaupun kita tidak ramai, ia tidak bermakna perjuangan kita tidak benar. Malahan, kerana berpegang kepada prinsip perjuangan itulah kita kadang-kala dipinggir.

“Saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan tidak merasa terlalu sedih dan hilang semangat untuk meneruskan perjuangan kita untuk bangsa kita, agama kita dan juga tanah air kita,” kata bekas perdana menteri, dalam surat terbukanya kepada pengundi di Langkawi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr Mahathir yang mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi hanya mendapat 4,566 undi dan hilang wang pertaruhan.

GTA yang bertanding di lebih 120 kerusi pula secara keseluruhan meraih hanya lebih 110,000 undi.

Dalam satu kenyataan awal minggu ini, Dr Mahathir mengaku sedih dengan keputusan itu tetapi akur dengan keputusan rakyat.

Dr Mahathir menulis surat terbuka hari ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengundinya di Langkawi, Sabtu lepas.

Beliau menyifatkan mereka sebagai “berani” kerana memilih menolak rasuah.

“Walaupun saya mungkin tidak kenal setiap seorang dari tuan-tuan dan puan-puan tetapi saya merasa sangat berbesar hati kerana semangat, keberanian dan penolakan rasuah oleh semua untuk memberi undi kepada saya yang mewakili Pejuang dan GTA.

“Atas kesedaran ini, sekali lagi saya ingin ucap berbanyak-banyak terima kasih kerana mengundi saya,” katanya.

Ini kali kedua Dr Mahathir kalah pilihan raya sejak pertama kali menyertainya pada 1964. Beliau pernah kalah pada 1969 ketika melawan Yusuf Rawa, tokoh yang kemudian jadi presiden PAS antara 1982 dan 1989. – 26 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen