AS larang import peralatan telekomunikasi Huawei, ZTE


AS melarang import dan penjualan peralatan komunikasi termasuk daripada firma gergasi China, Huawei Technologies atas alasan keselamatan. – Gambar AFP, 26 November, 2022.

PIHAK berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam umum larangan import atau penjualan peralatan tekomunikasi termasuk daripada firma gergasi China, Huawei Technologies dan ZTE, atas alasan keselamatan.

Peralatan keluaran Huawei dan ZTE dilarang masuk ke AS selepas dua firma itu disenaraikan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) sebagai ancaman.

Peraturan baharu itu merupakan langkah untuk mengehadkan akses firma telekomunikasi China dalam rangkaian AS, di tengah-tengah kebuntuan berpanjangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

“FCC komited untuk melindungi keselamatan negara dengan memastikan peralatan komunikasi yang tidak boleh dipercayai tidak dibenarkan untuk digunakan dalam sempadan kita,” kata pengerusi suruhanjaya itu Jessica Rosenworcel dalam satu kenyataan.

Peraturan itu adalah sebahagian daripada kerja berterusan untuk mengawal ancaman keselamatan, tambahnya.

Perintah larangan itu turut memberi kesan kepada syarikat peralatan pengawasan video Hangzhou Hikvision dan Dahua Technology.

Sikap waspada AS terhadap syarikat telekomunikasi dan teknologi China bukanlah baru tetapi sejak beberapa tahun lalu.

Washington sebelum ini melarang Huawei membekalkan sistem untuk kerajaan AS dan tidak menggalakkan penggunaan peralatan syarikat itu di sektor swasta, atas alasan kaitan dengan perisikan China.

Pada 2019 Huawei dimasukkan ke dalam senarai hitam perdagangan yang melarang urus niaga syarikat itu dengan pembekal AS. – AFP, 26 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen