Presiden Mexico seru rakyat ikut perarakan besar-besaran hujung minggu


Perarakan diketuai Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador hujung minggu ini adalah yang pertama seumpamanya dianjurkan pemimpin Mexico dalam tempoh empat dekad, kata pakar. – Gambar EPA, 26 November, 2022.

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Jumaat menyeru para penyokongnya untuk menyertai perarakan yang akan hujung minggu ini bersempena empat tahun beliau memegang jawatan.

Perhimpunan besar-besaran pada Ahad itu diadakan selepas puluhan ribu rakyat negara itu mengadakan tunjuk perasaan di Mexico City 13 November lalu bagi membantah cadangan merombak sistem pilihan raya.

Perarakan hujung minggu ini adalah yang pertama seumpamanya diketuai seorang presiden Mexico dalam tempoh empat dekad, kata pakar.

Lopez Obrador berkata perarakan itu diadakan untuk meraikan agenda reformasi Transformasi Keempat kerajaan dan seterusnya transformasi Mexico.

“Semua rakyat, termasuk menteri dan ahli Parlimen diseru supaya menyertai saya,” katanya kepada pemberita.

Lopez Obrador berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya pada 2024 walaupun perlembagaan menyebut seseorang presiden hanya boleh berkhidmat untuk sepenggal iaitu enam tahun.

Dua sekutu rapat yang juga bakal penggantinya, Datuk Bandar Mexico City Claudia Sheinbaum dan Menteri Luar Negeri Marcelo Ebrard, dijangka akan menyertai perarakan pada Ahad.

Presiden itu sebelum ini berkata tunjuk perasaan dua minggu lalu adalah cubaan pembangkang untuk kembali kepada pemerintahan korup.

Pembangkang bimbang reformasi yang dicadangkan pentadbiran Lopez Obrador akan menjejaskan Institut Pilihan Raya Negara (INE), iaitu badan pilihan raya bebas negara itu.

Lopez Obrador mendakwa INE menyokong penipuan apabila beliau gagal memenangi pemilihan presiden pada 2006 dan 2012, sebelum menang pada 2018. – AFP, 26 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen