3 maut, 11 cedera kes tembakan di 2 sekolah Brazil


Seorang lelaki melepaskan tembakan di dua buah sekolah di Brazil semalam, menyebabkan tiga orang maut termasuk seorang pelajar, manakala 11 lagi cedera. – Gambar EPA, 26 November, 2022.

SEKURANG-kurangnya tiga orang maut manakala 11 lagi cedera dalam kejadian tembakan di dua buah sekolah di Espirito Santo, Brazil semalam.

Seorang pelajar perempuan antara yang mati ditembak, kata pihak berkuasa.

Datuk Bandar Aracruz Luis Carlos Coutinho dipetik stesen radio CBN berkata suspek melepaskan tembakan ke arah sekumpulan guru di sebuah sekolah, menyebabkan dua orang maut dan sembilan yang lain cedera.

Suspek itu kemudian melarikan diri ke sebuah lagi sekolah lalu menembak seorang remaja perempuan, manakala dua lagi cedera.

Sementara itu Gabenor Espirito Santo Renato Casagrande berkata suspek itu kini diburu polis.

“Kami akan menyiasat motif tembakan dan menjangkakan maklumat lanjut dalam masa terdekat,” tulisnya di Twitter.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menyifatkan kejadian semalam sebagai tragedi yang tidak masuk akal.

“Saya begitu sedih dengan berita ini. Takziah kepada keluarga mangsa,” katanya di Twitter.

Kejadian tembakan paling gempar di Brazil berlaku pada 2011, membabitkan kematian 12 kanak-kanak di mana seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah sekolah rendah di Realengo, Rio de Janeiro sebelum membunuh diri.

Pada 2019, dua bekas pelajar sekolah menembak mati sembilan orang di sebuah sekolah menengah di Suzano, Sao Paulo, kemudian membunuh diri. – AFP, 26 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen